KUALA LUMPUR, 31 Mac 2020 – Situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah pasti menyebabkan aktiviti harian rakyat terjejas khususnya buat mereka yang menceburi bidang perniagaan.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Dato’ Zulfikri Osman, arahan “Stay At Home” atau “Work From Home” pada masa ini harus digunakan oleh para usahawan untuk mempertingkatkan ilmu keusahawanan mereka bermula 30 Mac hingga 8 April.
“Menyedari hakikat ini, MARA mengambil inisiatif mengadakan program Live Biz Talk melalui saluran sosial media Facebook bersama perunding berdaftar untuk manfaat kepada para usahawan secara percuma,” katanya.
Zulfikri menegaskan, pelbagai topik keusahawanan telah disediakan melalui program Live Biz Talk ini seperti bagaimana untuk “survive” dalam situasi Covid-19, survival perniagaan, kewangan dan bisnes, pemasaran digital dan lain-lain lagi.
“Semua ini kita sediakan bagi memastikan usahawan dapat memperoleh ilmu dalam mendepani situasi semasa bahkan sebagai persediaan untuk mengukuhkan kembali perniagaan apabila keadaan menjadi seperti biasa kelak,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, setiap perunding akan diberikan masa sebanyak 45 minit di program ini dan antara mereka yang terlibat adalah Ketua Pegawai Eksekutif Now Asia International Singapura Ayubul Ansari atau dikenali Abang Abu Mekanik Wang, Founder DAANIY Resources, Encik Saiful, CEO Creative Innovation Centre, Cikgu Linda, Baker Viral No.1 Malaysia, Anne Idris serta Puan Nikky dari Nikky Pir Khan Touch.
“Saya menyeru agar para usahawan mengambil peluang ini dan bagi maklumat lanjut berkenaan slot ini dijalankan, mereka boleh melayari www.facebook.com/bpumara,” ujarnya lagi.