Tips 5C Pengurusan Wang Efektif Buat Usahawan

Oleh: Akmal Azlan

Kuala Lumpur, 30 Mac 2020 – Dunia yang gempar dilanda penularan wabak COVID-19 sudah pasti memberikan impak yang besar terhadap sosioekonomi khususnya buat golongan usahawan yang menjalani bidang perniagaan di Malaysia. Abu Ayubul Ansari atau Abang Abu yang juga popular dengan gelaran Mekanik Wang tampil memberi perkongsian menerusi live facebook bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengenai tips 5C untuk mengurus wang dengan bijak serta efektif di saat ekonomi mengalami krisis.

Abu yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Now Asia Internasional di Singapura dan Malaysia serta seorang pakar motivasi keusahawanan memberi penerangan 5C kepada orang ramai khususnya golongan usahawan bagi membuat persiapan menghadapi krisis ekonomi pada ketika ini.

Menurut Abu Ansari 5C ialah cope, control, concentrate, create dan cash yang memainkan peranan penting untuk kita menjadi bijak mengurus kewangan.

“Pertama ialah cope iaitu boleh mengadaptasikan diri  dengan apa yang sedang berlaku. Kita kena redha dan tenang apabila menghadapi apa jua ujian serta cabaran pada masa ini. Hal ini bermakud usahawan perlu sentiasa bersedia menerima cabaran yang mendatang.

Control iaitu kita kawal pengeluaran duit, kawal benda-benda yang tak perlu dan kawal benda yang perlu. Sebagai contoh, kita kawal duit supaya ia tidak mengalir ke mana-mana tempat yang tidak berfaedah. Kita perlu kawal pelanggan dengan sentiasa menghubungi mereka tanpa sempadan sebagai sebuah pendekatan yang paling berkesan.

Concentrate. Sekarang kita kena beri tumpuan khusus dalam beberapa perkara seperti kewangan, sumber dan aset supaya ia digunakan secara produktif. Kita perlu mengambil kira sama ada perlu atau tidak untuk kita buat pengeluaran, pemotongan kos, pengawalan, dan lain-lain. Semua ini memerlukan konsentrasi untuk kita faham menggunakan peluang yang datang dengan sebaik mungkin.

Create iaitu mencipta peluang dengan menggunakan kaedah Hero Story. Hero Story ini merupakan suatu olahan emosional yang memberi inspirasi kepada orang yang melihat perbuatan kita. Seorang usahawan perlu membuat Hero Story yang mempunyai elemen perasaan seperti sedih, gembira, suka, dan inspirasi buat orang ramai untuk kita jadikan suatu pendekatan pelanggan kepada kita.

Cash atau wang tunai. Kita perlu memastikan mempunyai kekuatan cash di dalam dunia perniagaan. Kekuatan ini adalah melalui kaedah menggunakan wang tunai dengan efektif dan menguntungkan,” jelas Abu mengenai 5C.

Abu turut mengingatkan agar usahawan sentiasa menerima komen dan pandangan orang lain dengan hati terbuka terhadap produk yang kita hasilkan kerana ia adalah suatu peluang untuk kita meningkatkan mutu produk. Apa yang paling penting kepada usahawan adalah sentiasa mempunyai minda yang positif dalam mengharungi cabaran yang hebat.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.