Kuala Lumpur, 17 MAC 2020 – Selaras dengan arahan YAB Perdana Menteri mengenai langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 melalui perintah kawalan pergerakan, pihak MARA ingin memaklumkan bahawa semua Pusat Pentadbiran MARA akan menghadkan operasi seperti mana berikut:
Semua Institusi Pendidikan MARA (IPMA) meliputi MRSM (53 buah), Universiti Kuala Lumpur (13 cawangan), Kolej Poly-Tech MARA (7 cawangan), GIATMARA (231 buah), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (10 institut), Institut Kemahiran MARA (14 institut), Kolej Profesional MARA (6 buah), Kolej MARA (4 buah), German-Malaysian Institute, Kolej Universiti Poly-Tech MARA dan MARA-Japan Industrial Institute akan menangguhkan sesi pengajian bermula 18 hingga 31 Mac 2020. Sesi pengajian, kuliah dan latihan industri adalah dihentikan buat sementara waktu dan akan diselaraskan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak atau dilaksana dengan kaedah di atas talian.
Premis perniagaan MARA sama ada kompleks perniagaan, bazar, arked, kawasan industri dan medan selera adalah diarahkan untuk menutup operasi dari 18 hingga 31 Mac 2020 kecuali bagi usahawan yang menjalankan perniagaan yang dibenarkan sahaja iaitu pasar raya, pasar awam, kedai runcit, farmasi dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.
Semua aktiviti keagamaan termasuk solat berjemaah dan solat Jumaat di surau yang terdapat di IPMA dan premis perniagaan MARA adalah ditangguhkan buat sementara waktu selaras dengan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.
Semua perjalanan warga kerja MARA dan pelajar tajaan MARA ke luar negara akan dikenakan sekatan menyeluruh. Bagi pelajar tajaan MARA yang baru pulang dari luar negara perlulah menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (self-quarantine) selama 14 hari sebagaimana arahan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Operasi di Pusat Pentadbiran MARA seperti di Ibu Pejabat MARA, 14 buah Pejabat MARA Negeri, 117 buah Pejabat MARA Daerah serta subsidiari MARA akan menghentikan perkhidmatan melibatkan orang ramai bermula 18 hingga 31 Mac 2020. Sebarang urusan berkaitan dengan pembayaran, permohonan, pertanyaan dan sebagainya adalah melalui atas talian dengan melayari Portal MARA di http://www.mara.gov.my atau menghubungi MARA Call Center (MCC) di talian 03-2613 2000. Sila dapatkan maklumat terkini dengan mengikuti saluran media sosial rasmi MARA iaitu:
https://www.facebook.com/MajlisAmanahRakyat
https://www.instagram.com/majlisamanahrakyat
https://www.twitter.com/maragov