Doktor muda berjaya buka klinik sendiri – MARA bantu golongan usahawan profesional melalui ProSPEC

Dr Farhana bersama suami (kiri) menerima penyerahan SOP oleh YBhg Dato’ Azhar Abdul Manaf, Ketua Pengarah MARA (kanan)

Oleh: Akmal Azlan

Semenyih, 14 Mac 2020 – Bermula dengan angan-angan semenjak kecil menjadi doktor dan ingin memiliki klinik sendiri, kini Siti Farhana Mustapai, 32, akhirnya bergelar doktor serta berjaya membuka sebuah klinik sendiri melalui U.n.i KLINIK Semenyih di bawah Program Pembangunan Usahawan Profesional MARA (ProSPEC).

Dr Farhana merupakan pelajar alumni MRSM Kuala Berang dan berkelulusan daripada University of Mansoura selama 6 tahun di bawah program tajaan MARA.

Anak ketiga daripada enam orang adik beradik ini bernekad sejak kecil ingin menjadi seorang doktor hasil inspirasi melihat seorang doktor yang pernah merawatnya ketika kecil.

“Saya bercita-cita menjadi seorang doktor sejak kecil setelah melihat seorang doktor yang sangat baik melayan pesakit dan mempunyai kepakaran serta peralatan klinik yang cukup pada ketika itu.

“Bermula dari saat itu saya berazam untuk menjadi seorang doktor dan memasuki MRSM kerana ibu bapa saya sedar bahawa MRSM telah banyak melahirkan golongan profesional yang berjaya.” kata Dr Farhana.

Dr Farhana turut berkongsikan pengalaman manis ketika di MRSM.

“Semasa belajar di MRSM, saya sangat seronok dan bertuah kerana MRSM memiliki silibus pembelajaran yang advance, banyak aktiviti kepimpinan, kawan-kawan serta cikgu yang sangat dekat dengan kita.

“Saya masih ingat lagi seorang ustazah yang berpewatakan lembut dan merupakan guru homeroom saya iaitu Ustazah Fauziah. Pada saat itu, saya selalu membantu ustazah Fauziah berniaga tat telur yang sangat sedap. Itu adalah antara momen manis dalam hidup saya.”

Kini impian Dr Farhana menjadi kenyataan apabila menyertai program ProSPEC MARA yang memberi banyak manfaat dari segi pembiayaan, khidmat nasihat, latihan pembangunan usahawan dan lain-lain.

Beliau menyatakan bahawa MARA banyak memberi sokongan terhadap dirinya dari segi pembelajaran lengkap dan pembiayaan bermula dari MRSM sehingga menghabiskan pengajian di luar negara.

“Saya sangat sayang MARA sebab MARA jaga saya dari kecik sehingga lah saya berjaya buka klinik saya sendiri yang dibantu oleh suami saya iaitu Dr Faizeen dan merupakan alumni MRSM.

“Sempena pembukaan U.n.i KLINIK ini, saya cakap kepada pesakit bahawa saya daripada orang MARA sebab nak kenalkan kepada masyarakat bahawa U.n.i KLINIK milik orang bumiputera melalui MARA,” kata Dr Farhana dengan bangga.

U.n.i KLINIK cawangan Semenyih merupakan pembukaan klinik pertama Fasa 2 di bawah program ProSPEC dengan mensasarkan 18 pembukaan U.n.i KLINIK pada 10 Mac 2020 manakala pembukaan 18 buah U.n.i KLINIK bagi Fasa 1 berjaya dilaksanakan pada tahun 2019.

 

 

 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.