Amal surah Al-Waqi’ah & Al-Mulk rahsia dapat 9A+ SPM

Oleh: Akmal Azlan

Alor Gajah, 11 MAC 2020 – Setiap kejayaan yang diperolehi pasti mempunyai rahsia dan tips diamalkan untuk menggapai kejayaan dalam kehidupan seperti adik Nayli Syahirah, 18, pelajar MRSM Alor Gajah yang meraih keputusan 9A+ bagi SPM 2019.

Sememangnya doa dan usaha menjadi kekuatan untuk mencapai kejayaan, tanpa ada elemen tersebut belum pasti hasrat yang diimpikan akan tercapai.

Perkongsian adik Nayli Syahirah menarik perhatian apabila menyatakan bahawa rahsia beliau memperoleh 9A+ kerana istiqomah mengamalkan Surah Al-Waqi’ah dan Al’Mulk setiap hari.

“Rutin harian saya adalah membaca Surah Al-Waqi’ah selepas solat Subuh ataupun di waktu pagi. Kemudian saya membaca surah al-Mulk pada waktu malam.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kejayaan ini dan menjadi bukti kepada diri saya sendiri bahawa kalau nak berjaya, yang pertama sekali kita perlu ada kekuatan rohani serta mendekatkan diri kepada Allah,” kata adik Nayli.

Bukan itu sahaja, bangun di waktu sepertiga malam bagi menunaikan solat tahajjud turut menjadi amalan buat Nayli untuk mencari kekuatan.

“Bukan senang kita nak istiqomah dan konsisten melakukan perkara ini dan semua bermula dengan keazaman diri sendiri. Saya juga mempunyai rakan baik yang rajin pergi surau dan bangun awal pagi. Secara tidak langsung ia memberi pengaruh yang baik kepada saya untuk turut sama serta.

“Saya sangat gemar belajar di waktu pagi kerana masa tersebut memudahkan saya untuk memahami dan menghafal isi pembelajaran,” tambah adik Nayli.

Adik Nayli juga tidak menafikan bahawa aktiviti kerohanian di MRSM seperti solat hajat dan membaca surah Yaasin sangat membantu menyuntik motivasi para pelajar bagi melengkapkan diri dengan fizikal dan mental yang kuat.

Antara perkongsian tips lain yang disebutkan oleh adik Nayli adalah;

  1. Fokus di dalam kelas
  2. Kurangkan masa tidur
  3. Jangan malu bertanya dengan cikgu
  4. Isi masa hujung minggu dengan ulangkaji
  5. Buat study group
  6. Tingkatkan pengusaan pemahaman daripada menghafal sahaja.

Selain itu, adik Nayli juga tidak menghadiri mana-mana kelas tambahan luar atau tuisyen kerana beliau yakin dengan usaha dan potensinya di samping tidak membebankan orang tuanya.

Adik Nayli turut bersyukur kerana berpeluang menjadi pelajar MRSM yang banyak memberi manfaat dalam aspek ilmu pengetahuan, kepimpinan dan pelbagai aktiviti yang menarik.

“Best sangat belajar di MRSM sebab MRSM tak fokus dengan akademik sahaja tetapi banyak mengajar mengenai leadership, kemahiran berkomunikasi, dan cikgu yang sangat banyak membantu pelajar-pelajar di sini. Jadi, saya tak stress dan sangat enjoy sepanjang belajar di sini.” Kata adik Nayli dengan teruja.

Beliau berhasrat untuk melanjutkan pengajian di luar negara dalam bidang jurutera serta bercita-cita menjadi seorang jurutera seperti ayahnya suatu hari nanti. Semoga impian adik Nayli akan tercapai dan terus meraih kecemerlangan di masa yang akan datang.

Banyak lagi cerita-cerita menarik seperti ini yang memberi inspirasi kepada pelajar dan ibu bapa di luar sana untuk yakin dengan doa dan usaha yang dilakukan. Justeru, perkongsian adik Nayli sudah pasti memberi dorongan dan menjadi contoh kepada pelajar untuk meraih keputusan yang cemerlang dalam kehidupan.

Adik Nayli (hujung sebelah kanan) bersama ahli keluarga

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.