Pelajar istimewa berjaya bergelar graduan MARA

Muhammad Irfan Arif Shah,23, bersama ibu dan ayahnya yang meraikan kejayaan buat Irfan.

Oleh: Akmal Azlan

Serdang, 4 Mac 2020 – 2 pelajar istimewa dalam Majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pendidikan MARA 2020 iaitu Muhammad Irfan Arif Shah, 23, pelajar Institusi Kemahiran MARA (IKM) dan Ilham Iman Idrila Binti Idris, 22, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Rembau meraikan hari kecemerlangan mereka bersama keluarga tersayang.

Irfan Arif Shah,graduan IKM dalam Diploma Sains Komputer merupakan seorang autisme semenjak kecil lagi.

Menurut ibu kepada Irfan, Jasmin Abdullah berkata anaknya sangat meminati permainan game komputer dan ia membantu mengembangkan cara pemikiran anaknya.

“Saya mula melihat bakat anak saya ketika beliau sangat gemar bermain komputer sejak umurnya 8 tahun. Setelah Irfan menamatkan zaman persekolahannya , saya bercadang untuk mendaftarkan anak saya memasuki IKM kerana saya yakin institusi ini adalah saluran tepat untuk Irfan mengembangkan kelebihan yang tersendiri.

Saya bersyukur sangat kepada pensyarah-pensyarah di IKM Lumut iaitu Encik Danial dan  Encik Syukri yang sangat baik, sabar serta komited memberi tunjuk ajar kepada anak saya sehingga Irfan berjaya menghabiskan pengajian di IKM,”kata ibu Irfan.

Ayah dan ibu Irfan berkeyakinan tinggi apabila memilih IKM sebagai salah satu pusat pendidikan yang sesuai dengan minat anaknya untuk mengasah bakat anaknya malahan Irfan telah pun ditawarkan bekerja pada awal minggu Mac ini.

Selain itu, Ilham Iman Idrila Idris, 22, graduan daripada KKTM Rembau dalam bidang Diploma Perfileman dan Animasi yang turut mempunyai penyakit autisme berjaya bergelar graduan MKP 2020.

lham Iman Idrila Idris, 22 bersama ayah dan ahli keluarga meraikan hari kegembiraan yang penuh bermakna buat Ilham

Ayahnya Idris Basri, 57, berkata anaknya mempunyai autisme semasa kecil lagi namun setelah dewasa anaknya kelihatan agak sihat dan boleh hidup berdikari.

Ilham menyatakan bahawa beliau seorang yang minat melukis semenjak kecil serta menghasilkan banyak lukisan di rumah.

“Saya mengambil bidang perfileman di KKTM ini kerana sebahagiannya memerlukan bakat lukisan untuk menyiapkan tugasan yang diberi. Jadi, memang sesuai dengan minat saya,” kata Ilham.

Ayah Ilham mencadangkan kepada Ilham untuk memasuki KKTM kerana yakin dengan institusi ini untuk merealisasikan minat dan bakat anaknya dengan kepakaran dan teknologi sedia ada.  Hari ini terbukti, Ilham berjaya menghabiskan pengajian dan setanding dengan rakan-rakannya yang lain,”katanya dengan penuh teruja.

Kejayaan itu bukanlah diukur pada sempurnanya keadaan tetapi kejayaan itu boleh dimiliki kepada sesiapa sahaja yang berusaha. Bak kata pepatah, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.