Orang lain boleh, aku pun boleh!

Syazweena, graduan MKP 2020 KKTM Rembau

Oleh: Akmal Azlan

Serdang, 4 Mac 2020 – Wan Syazweena Wan Shakizan, graduan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Rembau berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Diploma Fashion & Design meskipun tangan kirinya tidak berfungsi semenjak lahir namun beliau tidak pernah berputus asa mengharungi cabaran kehidupan.

Anak kedua daripada tiga adik beradik ini amat meminati bidang rekaan fesyen semenjak kecil.

“Saya amat minat menonton rancangan pereka fesyen di dalam televisyen. Semenjak tingkatan 1 pula, saya juga minat melukis dan akhrinya saya mengambil keputusan untuk mengambil bidang ini di KKTM Rembau,” jelas Syazweena.

Syazweena amat berpuas hati dan seronok menghabiskan pengajiannya di KKTM walaupun pelbagai cabaran ditempuhi tetapi itu adalah kenangan manis yang tidak akan dilupakan buat dirinya.

Encik Wan Shakizan Wan Mohamad Noor, ayah, dan Faizah Mohamad Othman, ibu kepada Syazweena memberi sokongan penuh kepada anaknya sepanjang menghabiskan pengajian.

“Kami sebagai ayah dan ibu sentiasa memberi sokongan penuh untuk membantu Syazweena berjaya menamatkan pengajiannya.”kata mereka.

Ibu Syazweena menyatakan bahawa anaknya sangat gigih dan tekun ketika menyiapkan tugasan kerja yang diberikan seperti sulaman, jahitan dan lain-lain.

“Ibu mana yang tidak mengalirkan air mata apabila melihat kegigihan seorang anak yang agak terbatas untuk bergerak melakukan sesuatu pekerjaan berbanding orang lain tetapi semangat luar biasa yang dimiliki anak saya ini membuatkan Syazweena menjadi lebih baik berbanding orang lain dan mampu menghasilkan kerja yang sangat cemerlang sehingga mendapat pujian oleh pensyarah di kolej tersebut.

Syazweena bersama ibu dan ayahnya yang tersayang

Saya dan juga ayahnya tetap memberi sokongan penuh dan sentiasa membantu Syazweena jika dia memerlukan pertolongan.

Kami sangat bersyukur dan berbesar hati dapat melihat anak kami yang cantik ini dapat menaiki atas pentas serta menerima anugerah khas daripada pihak MARA.” kata ibunya dengan bangga.

Ibu bapa Syazweena berkeyakinan mendaftarkan anaknya memasuki KKTM kerana institusi ini mampu meningkatkan keupayaan anaknya melalui kepakaran yang meraka miliki.

Perancangan Syazweena di masa depan ialah ingin membuka syarikat sendiri dan mengembangkan bakatnya melalui  bidang yang beliau ceburi. Anak yang berbakat dan cantik ini semestinya memberi inspirasi kepada pelajar di luar sana agar tidak pernah berputus asa untuk meraih kejayaan.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.