Pelancaran Kelab Pencegahan Jenayah MRSM Se-Malaysia

WhatsApp Image 2020-03-03 at 5.38.16 PM.jpeg

Penyampaian Sijil Penubuhan Kelab Pencegahan jenayah dari YBhg. Dato’ Azhar Abdul Manaf, Ketua Pengarah MARA kepada En. Ariffin bin Sulaiman, Pengetua MRSM Bentong Pahang, disaksikan oleh tetamu kehormat.

Oleh: Mohd Taufek Mohd Noh

PAHANG, 3 Mac 2020 – Satu acara yang julung kalinya diadakan dengan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bentong Pahang dipilih oleh MARA untuk mencipta sejarah apabila dilantik sebagai kumpulan pertama Kelab Pencegahan Jenayah MRSM Se-Malaysia yang dilancarkan oleh YBhg. Dato’ Azhar Abdul Manaf, Ketua Pengarah MARA hari ini di MRSM Bentong, Pahang.

Kata Azhar dalam ucapan perasmiannya sebentar tadi, “MRSM Bentong akan menjadi benchmark kepada 52 buah MRSM lain di seluruh negara, selain membantu MARA dalam membangunkan aspek disiplin, peneguhan jati diri, dan mendidik para pelajar kita berkenaan kepentingan hidup dalam suasana sihat dan harmoni.”

Pastinya penubuhan kelab pencegahan jenayah di sekolah adalah untuk membentuk komuniti murid yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap aspek keselamatan dan pencegahan jenayah serta mempunyai kefahaman tentang penguatkuasaan undang-undang dalam konteks mewujudkan masyarakat yang harmoni dan aman.

Dengan sokongan daripada Bahagian Pendidikan Menengah MARA (BPM), Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (Malaysia Crime Prevention Foundation) MCPF, dan MUAFAKAT Kebangsaan, kelab ini akan membantu dalam meningkatkan kesedaran yang tinggi kepada semua pelajar MRSM terhadap aspek pencegahan jenayah dan meningkatkan kefahaman tentang penguatkuasaan undang-undang dalam konteks mewujudkan masyarakat yang harmoni dan aman sejahtera.

Katanya lagi, “MARA mensasarkan lebih daripada 4000 keahlian apabila kelab ini ditubuhkan di semua MRSM kelak.”

“Penubuhan kelab ini juga pasti membawa impak yang besar kerana akan melibatkan lebih daripada 150 orang guru, 50 orang Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahkan akan membawa manfaat kepada lebih 600 orang pelajar di setiap MRSM.”

Dalam majlis pelancaran yang diadakan hari ini, satu forum yang bertajuk kesedaran jenayah turut diadakan pada awal pagi yang mengundang barisan ahli panel seperti SAC Dato’ Dr. Mustafa Khan bin Hj. Abdul Samat daripada Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Leftenen Kol. (B) Mustaffa bin Ahmad, Naib Presiden Kanan Outreach & Pembangunan Kapasiti Cyber Security Malaysia, dan En. Raflly bin Nann daripada MCPF Selangor serta moderator Imam Muda Taufek.

Turut hadir dalam majlis pelancaran ini adalah Puan Wan Ainizah binti Ariffin, Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, DCP Dato’ Mohd Yusri bin Hassan Basri, Timbalan Ketua Polis Pahang, Dato’ Zainal Abidin Kasim, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM dan tetamu kehormat yang lain.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.