Larian dan kayuhan pupuk semangat sayangi MARA

Lebih 1,000 peserta menyertai Larian & Kayuhan MARA 2020 di MAEPS, Serdang sempena sambutan Hari MARA ke-54, semalam.

Acara itu disertai komuniti MARA yang terdiri daripada alumni MRSM dan IPMA, usahawan-usahawan, pelajar-pelajar serta warga kerja MARA, selain turut disertai masyarakat awam, golongan istimewa MyCP – Bikeisable Team dan penggemar sukan larian dan kayuhan.

Program yang julung kali diadakan dengan kerjasama antara MARA, ANSARA dan MUAFAKAT itu juga bagi menanam semangat sayangi dan tanda terima kasih kepada MARA menerusi platform sukan.

Pelepasan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Khidmat Pengurusan MARA, Rohayah Mohd Zain, Presiden ANSARA Malaysia, Dato’ Kamarul Redzuan Muhamed dan Presiden MUAFAKAT MARA Malaysia, Dato’ Sayed Alfeizal Sayed Ahmad bermula jam 7.30 pagi dengan acara kayuhan 21 kilometer (km), diikuti larian 10 km dan 5 km.

Sementara itu, bagi seorang peserta, Iean Idris Faizal, 18 tahun, berkata dia menyertai larian ini sebagai tanda dia menghargai dan berterima kasih kepada MARA.

Menurut seorang lagi peserta, Malinda Md Nor, 45, acara ini adalah satu-satunya acara yang dapat menghimpunkan komuniti MARA selain dapat berjumpa rakan-rakan lama dan mengeratkan hubungan silaturahim.

Turut hadir menyertai acara ini selebriti sukan, Roslin Hashim, Zulfahmi Khairuddin, Anuar Manan dan ramai lagi.

This entry was posted in Korporat and tagged . Bookmark the permalink.