Teringin mak nak pakai jubah

Nur Saihah memakaikan ibu jubahnya

“Teringin mak nak pakai jubah konvo,” itulah permintaan seorang ibu tunggal, Raihanah Kasim, 56, yang membuatkan anaknya, Nur Saihah Mostaffa, tersentuh hati warganet.

Kisah ini dikongsi di media sosial MARA, petang semalam menerusi video ibunya tersenyum gembira kerana dapat memakai jubah dan topi mortar sambil memegang jambangan bunga.

Nur Saihah, 22, juga graduan KKTM Lenggong, berkata, video ini diambil selepas dia menerima skrol Diploma ketika Majlis Konvokesyen Perdana 2020 di MAEPS Sedang.

“Mak sangat teruja untuk datang majlis konvokesyen saya kerana sudah lama dia menanti saat untuk melihat saya naik ke pentas dan menerima skrol.

“Selepas majlis konvokesyen selesai, kami berkumpul di luar dewan untuk mengambil gambar bersama.

“Ketika itulah, mak meminta izin untuk memakai jubah dan topi mortar dengan alasan tidak pernah merasai apa yang saya rasa.

“Kata-kata mak itu membuatkan saya tersentuh hingga terus menyarungkan jubah serta topi mortar di kepalanya.

“Abang pernah menyambung pengajian di India, tetapi mak tidak berpeluang menghadiri majlis konvokesyen kerana masalah kewangan.

“Kini, giliran saya bergelar graduan, jadi inilah masanya saya menggembirakan mak dengan memenuhi permintaannya dengan memakai jubah dan topi mortar.

“Lagipun, ini kali pertama mak mencuba memakai jubah konvokesyen,” katanya.

Menurut Nur Saihah, dia berharap supaya perkongsian video itu memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada.

Tambah ibunya, Raihanah sentiasa berpesan kepada anak-anaknya sejak dari kecil lagi supaya sentiasa mengaji dan tidak tinggalkan solat serta jadi orang yang berguna.

Nur Saihah juga adalah pelajar lepasan SPM dari sekolah sains memilih untuk menyambung pengajian di KKTM Lenggong berbanding program matrikulasi adalah kerana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) ini terdapat bidang yang berkaitan sains selain MARA menyediakan pelbagai kemudahan termasuklah elaun yang dapat menampung pembelajarannya.

“Kepada pelajar luar sana yang mencari tempat belajar, pelbagai bidang yang ditawarkan menerusi IPMA. Jika ada masalah kewangan, MARA sediakan elaun, janji kita belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita,” katanya.

This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.