Pelajar MRSM perkenalkan Robotik Revolusi Pertanian

Pelajar-pelajar MRSM menerima anugerah oleh pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO)

Kuala Lumpur, 14 Februari 2020 – Pelajar MRSM yang berjaya mengungguli kemenangan dalam pertandingan Robotik Antarabangsa memberi impak yang besar kepada pembaharuan ciptaan robot bagi memudahkan proses kerja bidang pertanian.

Pada 15 hingga 20 Disember 2019, 10 orang pelajar MRSM merangkul 2 pingat emas, 1 pingat perak, 1 pingat gangsa dan 1 anugerah teknikal.

Adik Ahmad Muqry Hasni dan Nur Ain Balqis memenangi pingat emas kategori kreatif yang bertemakan Robot : Agricultural Revolution dengan hasil rekaan robot dengan gelaran Dr Plant.

Menurut Muqry dan Ain Balqis, Dr Plant ini direka khas untuk mengenal pasti pokok perosak yang membantu menghapuskan pokok yang telah rosak.

“ Dr Plant kami ini berfungsi untuk mengesan pokok yang telah rosak dan ianya secara langsung menghapuskan pokok perosak ini menggunakan racun semburan.

Pengesanan gambar yang dijana oleh teknologi kepintaran buatan atau Artificial Intelligent menggunakan Software Tensorflow dilengkapi dengan Raspberry Pi 3 untuk menghantar arahan kepada motor pam yang dijana oleh 2 servo motor.

Servo motor ini pula bergerak untuk mencari dan mengarahkan muncung penyembur kepada perosak,” jelas pelajar MRSM Bentong tersebut.

Selain itu, MRSM Kota Putra yang diwakili oleh Ziyad Azahr dan Hana Humaira Wan Hasnan merangkul pingat emas dalam acara Robot in Movie.

Menurut Ziyad dan Hana Humaira, “ kami dikehendaki untuk menghasilkan video sub tema Vital Monitoring menjadi video utama. Penghasilan video kami ini juga dilengkapi dengan prop yang perlu dirangka jalan ceritanya atau story board di samping perlu mahir dalam penguasaan proses editing (olahan) dan juga side effect”.

MRSM Bentong pun turut mempamerkan kemahiran dan pemikiran inovasi pelajar melalui Ishak Mat Ramlee dan Nurhusna Norzaidi yang memperoleh pingat perak hasil rekaan robot elektrik pemusnahan rumput liar di Kawasan pertanian.

“ Robot pemusnah rumput liar ini menggunakan kuasa elektrik yang bertujuan mengesan dan memusnahkan rumput liar di Kawasan pertanian. Rekaan ini sebenarnya untuk membantu petani di masa akan datang untuk menjimatkan tenaga dan masa dalam memelihara pertanian yang berkualiti, kata Ishak dan Husna.

Pingat gangsa pula dirangkul oleh MRSM Kota Kinabalu iaitu Carlos Kong Su Yie dan Yasmeen Puteri Yusri. Mereka mempamerkan robot yang membantu meminimumkan kesan pembakaran tanaman.

“ Robot yang kami hasilkan adalah cetusan idea berdasarkan kajian kes kebakaran tanaman yang berlaku di sekita Sabah.

Kemudian, kami bersepakat dengan idea yang sama untuk menghasilkan rekaan robot yang membantu mengurankan kesan samping pembakaran tanaman jika berlaku kebakaran. Hal ini sering juga terjadi dalam aktiviti pertanian Malaysia,” kata Su Yie dan Yasmeen Puteri.

Di samping itu, MRSM Parit dinobatkan Anugerah Teknikal terbaik dalam pertandingan ini yang diwakili oleh Muqri Mahdi Feroz Hanif dan Nur Maisarah Anuar.

Sejak tahun 2005, MARA melalui MRSM komited menghantar pelajar ke pertandingan robotic di peringkat antarabangsa untuk memberi manfaat dan pendedahan kepada para pelajar.

MARA secara khususnya memberi penekanan penting dalam memperkasakan pembangunan modal insan dalam bidang robotik dan teknologi kepintaran antaranya seiring dengan dunia teknologi yang berfokuskan kepada Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4).

 

 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.