Bisu Tidak Halang Didik Anak Pintar

Auna (pertama dari kiri ) bersama guru dan rakan-rakan

Alor Gajah, 28 Jan – Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Shafiqah Auna Sharmizi 13, dilahirkan dalam keluarga yang serba sederhana dan dibesarkan oleh ibu bapa yang pekak dan bisu. Namun, kekurangan itu tidak pernah menjadi penghalang untuk kedua ibu bapa ini melahirkan anak pintar.

Anak sulung tiga beradik ini merupakan pelajar tingkatan satu di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah dan Auna bersyukur kerana mendapat tempat di MRSM. Beliau nekad untuk meneruskan kecemerlangannya di MRSM.

Menurut Auna, kecemerlangannya memperoleh 6A dalam Peperiksaan UPSR adalah hasil didikan daripada kedua ibu bapa dan neneknya yang turut mengambil peranan menguruskan pembelajarannya.

“Kami tidak ada masalah berkomunikasi bahkan ibu dan ayah mampu berkomunikasi sesama sendiri termasuk anak-anak melalui teknik sendiri”

“Saya pun boleh menggunakan bahasa isyarat, kami tidak pernah rasa malu dengan mereka. Ibu dan ayah tidak mampu bercakap dan mendengar namun didikan mereka lengkap dan sempurna. Kami adik-beradik tidak pernah rasa segan silu memperkenalkan ibu dan ayah. Mereka syurga kami,”kata Auna.

Tambah Auna, kekurangan ini menjadi pembakar semangat untuk beliau Berjaya dalam pelajaran dan kehidupan. Sudah menjadi impiannya untuk memasuki MRSM dalam aliran IGCSE. Beliau ingin realisasikan cita-citanya untuk menjadi pakar astronomi memandangkan beliau sangat berminat dalam ilmu falak untuk mengkaji tentang alam semesta.

Auna bersama ibu dan ayahnya

 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.