Johan Qari Junior Teruja Masuk MRSM

Salimah, Johan Qari Junior

Gemencheh, 14 Januari 2020 – “Saya belajar hafazan sejak usia 5 tahun dan setiap hari saya amalkan baca Al Quran selepas solat berjemaah dengan keluarga,” kata Salimah Mohd Tariq 13, berkongsi tip kejayaan beliau mejadi Johan Rancangan Qari Junior 2018 di Astro Oasis.

Beliau begitu teruja kerana dapat melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab Gemencheh dan sedang mengikuti Minggu Silaturahim yang merupakan minggu orientasi wajib sebelum memulakan sesi persekolahan.

“Seronok! banyak yang saya belajar sepanjang minggu orientasi ini bahkan saya sudah belajar bangun seawal lima pagi dan bersiap sedia untuk berkumpul bersama teman baru. Saya nekad untuk biasakan diri dan pastinya hidup berdikari mengajar saya supaya tidak patah semangat.

Tipu lah tidak rindu keluarga, namun demi sebuah cita-cita untuk menjadi seorang teknokrat hufaz, saya akan kuatkan hati dan tidak sia-siakan harapan ibu ayah,” tambah Salimah.”

Menurut Salimah, melanjutkan pelajaran ke MRSM adalah cita-citanya untuk menjadi seorang professor Al-hafizah terbilang. Peluang yang diberikan akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Saya yakin di sini lah institusi terbaik untuk saya belajar menghafaz ayat suci dan ini peluang sekali seumur hidup

Tidak sabar untuk berjumpa murobbi hebat di sini. Saya tertunggu-tunggu kelas tasmik untuk betulkan bacaan saya,” ujar Salimah gembira.

Cikgu Mimi Nazira Mohamad Yusof, Kaunselor MRSM Gemencheh berkata, sepanjang minggu suai kenal ini, Salimah memberi komitmen yang sangat baik, bahkan aktif dan sangat responsif. Tampil ceria dan sopan santun orangnya. Personaliti Salima yang tenang dan matang menjadikan beliau seorang yang mudah didekati dan disenangi rakan-rakan.

“Salimah tidak pernah merungut, saya pasti beliau dapat jadi contoh buat rakan-rakan yang lain. Besar harapan agar Salimah dapat meneruskan kecemerlangan dalam bidang yang diceburinya terutama bidang Al-Quran dan akademik,” kata Mimi.

Salimah memilih untuk teruskan hafazan di MRSM Gemencheh agar beliau dapat melancarkan hafazan Al-Quran di samping menguasai ilmu sains dan teknologi yang lain.

Bagi Salimah dengan minat mendalam dan usaha yang berterusan tidak mustahil untuk seseorang itu mencapai kejayaan pada usia muda. Beliau nekad menjadi contoh kepada adik-adiknya yang lain. Bertapak di MRSM bermulalah perjalanan Salimah sebagai seorang hafizah yang pintar soleh.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.