Tiada pelajar tajaan MARA terlibat dalam kebakaran yang berlaku di Australia

Oleh: Mohd Taufek Mohd Noh

Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak menerima sebarang laporan mengenai pelajar Malaysia terlibat dalam kejadian kebakaran hutan di beberapa bahagian yang melanda Australia.

Kebakaran hutan di Australia atau secara umum dikenali sebagai ‘bushfire‘ masih berlanjutan sehingga kini disebabkan kurang taburan hujan serta suhu musim panas yang tinggi. Kebanyakan bushfire berlaku di kawasan pendalaman dan luar bandar Australia termasuklah kawasan hutan simpan dan tarikan pelancong.

Antara kawasan yang terjejas teruk oleh bushfire berlaku di sekitar New South Wales dan Victoria sehingga memaksa kerajaan mengistihar beberapa kawasan terbabit sebagai darurat. Sebelum ini dilaporkan 50 rakyat Malaysia yang berada di bandar Townsville, Queensland selamat berikutan hujan lebat berterusan.

Manakala terdapat satu kebakaran hutan di kawasan barat daya Canberra di Taman Negara Namadgi yang terletak di sempadan New South Wales dan Canberra, namun setakat hari ini, berita tempatan melaporkan pihak bomba masih lagi cuba untuk memadamkan kebakaran.

Difahamkan ketika ini adalah cuti semester bagi pelajar-pelajar universiti di Australia, kebanyakan pelajar tajaan MARA sedang menjalani cuti semester sehingga pertengahan bulan Februari dan tidak berada di kampus. Kebanyakan pelajar tajaan MARA juga menuntut di universiti yang terletak di bandar-bandar utama seperti Sydney, Melbourne, Brisbane, Adelaide dan Canberra. Manakala, sebahagian kecil menuntut di universiti yg berada di bandar kecil seperti di Wollongong dan Townsville.

Pejabat MARA Australia sentiasa memantau kejadian ini sejak September 2019 dan mengeluarkan notis peringatan melalui Facebook Rasmi MARA @DSydney untuk mengingatkan para pelajar mengelakkan daripada berada di kawasan bencana serta kawasan yang berpotensi berlaku bencana kerana keadaan kebakaran hutan itu menyebabkan jerebu yang tebal di beberapa bahagian. MARA juga menasihatkan semua pelajar yang masih berada di kawasan yang terlibat untuk memakai topeng muka, dan kurangkan aktiviti luar.

Bagi Ibu Bapa pelajar tajaan MARA khususnya dan rakyat Malaysia amnya dimohon doakan keselamatan pelajar-pelajar dan warga Malaysia di sana agar dijauhkan dari perkara yang tidak diingini berlaku.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.