MARA Terus Diperkasa Untuk Pembangunan Bumiputera

Saya menghargai keperihatinan semua pihak terhadap MARA sebagai sebuah institusi yang amat penting dalam pelaksanaan agenda pembangunan bumiputera.

MARA termasuk subsidiari di bawahnya tetap beroperasi seperti sedia ada bagi melaksanakan dasar dan program yang telah digariskan mengikut teras dan peranan setiap entiti yang wujud. Setiap cadangan dan inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan adalah untuk memastikan MARA terus diperkasa dan berkembang maju sebagai salah satu agensi peneraju pembangunan sosio-ekonomi bumiputera.

Saya komited untuk memastikan mandat yang diberikan kepada Ahli Majlis MARA dan Pengurusan MARA sebagaimana yang digariskan di bawah Akta MARA 1966 sentiasa dilaksanakan bertepatan dengan fungsi dan tanggungjawab teras institusi berkenaan. Setiap dasar dan program perlu berpaksikan kepada agenda pembangunan dan kepentingan bumiputera serta kesejahteraan rakyat Malaysia untuk membina kemakmuran bersama.

Saya sentiasa terbuka dan mengalu-alukan saranan dan pandangan daripada semua pihak yang prihatin dan ikhlas ingin melihat MARA terus berkembang maju dan melonjakkan keupayaannya untuk merealisasikan teras dan matlamat penubuhan MARA. Saya telah mengarahkan Majlis MARA dan Pengurusan MARA untuk meningkatkan sesi libat urus bagi mendapatkan syor dan pandangan pelbagai pihak berkepentingan.

Saya mengharapkan tidak ada mana-mana pihak yang lain sengaja menyebarkan maklumat yang tidak tepat berhubung MARA. Sebagai contoh, adalah tidak benar bahawa MARA melaksanakan pengurangan jumlah pekerja. Adalah amat mendukacitakan tuduhan palsu yang menyatakan terdapat pekerja anak syarikat MARA yang tidak mendapat gaji untuk beberapa bulan. Semua itu adalah tidak tepat dan fitnah semata-mata.

Tindakan seumpama ini tidak menggambarkan keikhlasan untuk melindungi MARA dan jauh sekali membantu untuk memperkasa dan melonjakkan kecemerlangan MARA sebagai sebuah institusi yang amat signifikan kepada negara, khususnya pembangunan bumiputera.

Bagi tahun 2020, antara fokus yang akan digerakkan adalah pemerkasaan keupayaan institusi-institusi pendidikan MARA bagi melahirkan modal insan yang menepati keperluan tenaga kerja masa depan. Tumpuan kepada bidang keusahawanan meliputi pembangunan usahawan luar bandar dan peningkatan kapasiti para usahawan Bumiputera sedia ada. MARA turut merancang untuk melaksanakan pelaburan melalui Endowment Fund dan juga memantapkan tadbir urus bidang pelaburan meliputi aspek pemilihan dan sektor, pemilihan pengurus dana, pemantauan dan pengukuran prestasi.

Oleh itu saya menyeru kerjasama dan sokongan penuh semua rakyat Malaysia supaya MARA dapat mencapai matlamatnya demi kesejahteraan kita bersama.

DATUK SERI RINA MOHD HARUN
Menteri Pembangunan Luar Bandar

This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.