
Anak-anak asnaf terima bantuan persekolahan
MARA Negeri Sembilan bersama Persatuan Penyewa Seremban Plaza (PUSPAZA) telah menganjurkan Program Back To School @ Seremban Plaza yang berlangsung selama 10 hari bermula pada 13 hingga 22 Disember 2019, bermula jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang.
Seramai 26 orang usahawan di bawah bimbingan MARA telah turut serta dalam program ini yang mempamer dan menjual produk keperluan persekolahan pada harga promosi kepada para pengunjung.
Setakat 8 hari program ini berlangsung, lebih 5,000 orang pengunjung telah mengunjungi Seremban Plaza yang menyumbang kepada nilai jualan terkumpul sebanyak RM89,952.00 yang diperolehi oleh usahawan pemamer dan dijangka nilai jualan ini akan meningkat dan mencecah sasaran RM100,000.00 pada penghujung program.
Selain jualan promosi barang-barang keperluan asas persekolahan, terdapat pelbagai acara telah dilaksanakan untuk memeriahkan lagi program seperti Pertandingan Mewarna, Pertandingan Dekorasi Cup Cake, Pertandingan Beyblade, Pertandingan Catur, Petting Zoo serta Cabutan Bonanza 10X Cashback. Aktiviti ini telah menarik minat bukan sahaja penduduk setempat malah penduduk luar Seremban.
Melalui program ini ia telah memberi peluang kepada ibu bapa untuk mengcungkil kreativiti anak-anak mereka disamping memenangi hadiah sumbangan dari PTPTN dan Perpustakaan Negeri Sembilan. Selain itu, ibu bapa juga boleh meluangkan masa untuk berinteraksi bersama anak-anak di musim cuti sekolah dengan membawa anak-anak melihat pelbagai jenis binatang yang dipamerkan di petting zoo.
Bagi membantu ibu bapa dan pelajar dari golongan yang berpendapatan rendah, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan, YB Tuan Haji Ismail Ahmad, telah hadir menyampaikan sumbangan keperluan persekolahan kepada seramai 103 orang anak asnaf dan anak dari keluarga yang kurang berkemampuan. Bantuan yang disampaikan berupa uniform sekolah, beg sekolah, set alatulis, kasut sekolah dan stoking. Keseluruhan bantuan adalah inisaitif bersama daripada Pejabat MARA Negeri Sembilan, PBMaINS, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Yayasan Pelajaran MARA, Rural Capital Berhad dan 20 orang usahawan bimbingan MARA dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM31,000.00.
Hadir sama dalam majlis penyerahan, Pengarah MARA Negeri Sembilan, Puan Mimi Mazlin Mohamad Yusof, Ketua Pegawai Operasi Rural Capital Berhad, Dr. Mahathir Ibrahim, Ketua Bahagian Kutipan PBMaINS, Encik Mohd Rafiz Mohd Yusoff dan Pengurus Bank Muamalat Malaysia Berhad, Encik Mohd Zailani.
Menurut Mimi Mazlin, objektif utama penganjuran program ini selain dari membantu ibu bapa dalam persiapan anak-anak, ia juga merupakan lapangan kepada usahawan MARA untuk mempraktikkan ilmu dan kemahiran yang diberikan oleh MARA melalui latihan dalam bidang pemasaran. MARA yang merupakan satu-satunya agensi pembangunan usahawan yang menawarkan ekosistem pembangunan usahawan yang lengkap iaitu dari segi pembangunan usahawan melalui penganjuran pelbagai latihan, MARA turut menyediakan lokasi dan peluang kepada usahawan untuk berniaga disamping turut memberi kemudahan sokongan seperti skim pembiayaan perniagaan. Selain itu, melalui program ini juga MARA Negeri Sembilan mahu seluruh masyarakat di Seremban khususnya untuk lebih dekat dengan MARA serta mengetahui pelbagai program yang ditawarkan oleh MARA kepada masyarakat Bumiputera khususnya.