Dari Meja Pengerusi MARA

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Masa telah berlalu dengan pantas dan tahun 2019 bakal berakhir. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi secara ringkas kepada semua mengenai pencapaian dan kejayaan MARA untuk tahun ini.

Untuk makluman semua, MARA telah melaksanakan segala inisiatif yang dirancang secara bersungguh-sungguh dan banyak penambahbaikan yang telah dibuat sepanjang tahun ini merangkumi aspek tadbir urus, pengurusan kewangan, pendidikan dan keusahawanan. Majlis MARA dan Pengurusan MARA telah berusaha tanpa jemu untuk memenuhi amanah dan mandat yang diberikan oleh kerajaan dalam meningkatkan status ekonomi golongan berpendapatan rendah B40 terutamanya Bumiputera. Setiap ringgit dana peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan digunakan sebaik-baiknya demi merealisasikan misi MARA dan kerajaan.

FOKUS

MARA memberi fokus kepada bidang-bidang berikut:

  1. Pembangunan modal insan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan negara.
  2. Pemerkasaan Institusi-Institusi pendidikan MARA seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), German Malaysian Institute (GMI), MARA Japan Industrial Institute (MJII), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Kolej Profesional MARA (KPM), Kolej MARA (KM), Institut Kemahiran MARA (IKM), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan GIATMARA untuk menyediakan pendidikan unggul dalam bidang akademik, profesional dan TVET.
  3. Dalam bidang keusahawanan pula, MARA melaksanakan program pembangunan keusahawanan bersama usahawan-usahawan Bumiputera yang sedia mempunyai kepakaran dan kemahiran seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
  4. MARA merancang untuk melaksanakan pelaburan melalui Endowment Fund di mana MARA berperanan untuk menentukan sektor dan jenis pelaburan, membuat pemilihan pengurus dana pelaburan, memantau dan mengukur prestasi pengurus dana pelaburan.

Terdahulu, MARA telah berusaha untuk membangun dan mengurus perniagaan melalui penubuhan anak-anak syarikat. Walau bagaimanapun kekurangan kepakaran dalam bidang-bidang yang diceburi telah menyebabkan syarikat-syarikat tersebut mengalami kerugian yang berterusan. Beberapa kelemahan yang telah dikenal pasti termasuk dalam aspek tadbir urus yang tidak sempurna, pemilihan sektor dan jenis pelaburan yang tidak tepat serta pengurusan dana yang tidak efektif. Pada tahun ini, MARA telah menghentikan sebarang penyaluran peruntukan bagi pelaburan baru kecuali dalam bidang pendidikan.

Susulan itu, semua anak syarikat MARA akan diletakkan di bawah pemantauan satu jawatankuasa khas yang akan melapor terus kepada Majlis MARA. Jawatankuasa khas ini juga akan memberi cadangan mana-mana anak syarikat yang akan dikekalkan atau sebaliknya pada tahun 2020.

PENCAPAIAN

Sukacita saya ingin berkongsi beberapa pencapaian MARA sepanjang tahun ini seperti pengambilan kemasukan ke MRSM 2019 melebihi 60% dari golongan B40 dan bagi pengambilan 2020, MARA telah menerima lebih daripada 100 ribu permohonan. Manakala, bagi sektor keusahawanan, kami telah berjaya mempromosikan program- program yang berimpak tinggi seperti GAYA Fest, MARA in Fashion, Hair in Trend (HIT) Barber, Gate to Global, ProSPEC dan sebagainya.

Melangkah ke hadapan, MARA sentiasa komited untuk memastikan masyarakat Malaysia terutamanya Bumiputera akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada program-program pendidikan dan pembangunan keusahawanan MARA.

Satu sidang akhbar akan diadakan pada bulan Januari 2020 untuk Majlis MARA berkongsi maklumat dengan lebih terperinci.

Selamat Tahun Baru!

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.