MARA komited bantu pelajar B40

Pelajar sekolah rendah yang menerima sumbangan

Oleh: Akmal Azlan

Kuala Lumpur, 14 Disember 2019 – Program Back To School 2020@KPLB Yayasan Pelajaran MARA beri sumbangan kepada 1000 orang pelajar bagi peringkat Parlimen Titiwangsa sempena musim persekolahan yang akan datang.

Program ini bertujuan untuk memastikan golongan kurang berkemampuan tidak tercicir untuk mendapat pendidikan di sekolah.

Menurut Yang Berhormat Rina Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar, “usaha murni ini untuk memastikan tidak ada pelajar yang tercicir ke sekolah serta membantu mengurangkan bebanan dan tanggungan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak.

Bantuan persekolahan ini mensasarkan bagi mereka yang berpendapatan rendah atau dalam kalangan B40 kepada pelajar peringkat sekolah rendah dan menengah.

Sasaran program ini melibatkan kos RM3.2 juta yang disediakan bagi membantu golongan B40 dan miskin seluruh negara dengan jumlah 43,520 pelajar,” katanya.

Selain itu, langkah ini merupakan salah satu cara untuk meningkatkan keyakinan pelajar agar tekun belajar di sekolah.

“Saya tidak mahu pelajar yang kurang mampu merasakan rendah diri apabila melihat orang lain mampu memiliki kelengkapan persekolahan. Saya juga percaya apabila pelajar mempunyai kelengkapan persekolaan yang cukup, ianya membuatkan mereka lebih yakin,” tambahnya lagi.

YB Rina Harun menyampaikan sumbangan kepada penerima

YB Rina Harun turut menyatakan bahawa usaha murni Yayasan Pelajaran MARA (YPM) harus ditingkatkan dengan kolaborasi bersama pihak Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan enrollment ke sekolah melalui program seperti ini.

Program ini bertujuan untuk mengurangkan kos pembelian barang persekolahan bagi ibu bapa dan penjaga.

Akhir sekali, YB Rina Harun mengucapkan tahniah kepada YPM kerana usaha murni ini merupakan sebuah usaha untuk mencapai hasrat pihak kementerian dan menasihatkan kepada penerima bantuan ini agar belajar bersungguh-sungguh serta berbuat baik kepada semua orang terutamanya ibu bapa dan guru-guru.

Majlis penyampaian sumbangan ini disempurnakan oleh YB Rina Harun di Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Pandan dengan dihadiri oleh KSU KPLB, pihak pengurusan MARA, subsidiari MARA, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Penerangan Malaysia, YPM dan kelab Rotary.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.