Jasa Warga Kerja Dan Ejen MARA Liner Dihargai

Oleh: Zuraini bt Sainal
zuraini@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 10 Disember 2019 – Sektor pengangkutan merupakan pemacu kepada pertumbuhan negara dan penyediaan sistem pengangkutan yang berkualiti adalah penting untuk mencapai aspirasi negara maju. Justeru, MARA Liner Sdn Bhd, subsidiari milik MARA yang berteraskan perkhidmatan pengangkutan diberi tanggungjawab dalam memberi perkhidmatan bas luar bandar dan ekspres di samping menampung tanggungjawab sosial korporat.

Seramai 46 orang warga kerja serta ejen tiket yang membantu menjana pendapatan syarikat melalui perkhidmatan bas ekspres MARA Liner diraikan dalam Majlis Penghargaan MARA Liner Sdn Bhd yang telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Azhar bin Abdul Manaf, Ketua Pengarah MARA di sini hari ini.

Anugerah Ejen MLSB Terbaik – Puan Zarina Che Kar, Shahab Perdana Alor Setar

Salah seorang penerima anugerah iaitu Puan Zarina Che Kar yang merupakan Ejen Tiket MARA Liner telah menerima Anugerah Ejen MLSB Terbaik dengan kutipan mencecah hampir RM250,000.00 tahun lalu. Beliau yang merupakan ibu tunggal kepada 2 orang cahaya mata turut mendapat galakan dan bantuan dari anak-anaknya semasa cuti semester bermula.

“Saya telah berkecimpung di dalam industri ini selama 28 tahun sebelum ini dan baru sahaja menyertai sebagai ejen MLSB sejak hampir 2 tahun lalu. Saya bersyukur dan tidak menjangka akan menerima anugerah seumpama ini kerana ramai lagi ejen MLSB yang lain seluruh negara termasuklah di Kedah ini sendiri. Saya percaya kaedah promosi yang berterusan, kerjasama bersama para pekerja dan anak-anak saya yang turut membantu semasa cuti semester serta sifat ramah bagi menarik para pelanggan menyumbang kepada kejayaan ini”.

Apabila ditanya mengenai perancangan pada masa hadapan, beliau sedang dalam perancangan untuk membuka cawangan ejen tiket di Kangar dan Changlung. Ini kerana dua lokasi ini mempunyai ramai pengguna di samping lokasinya yang strategik.

Encik Norizan bin Hussain, Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja MLSB

Sementara itu, Encik Norizan bin Hussain yang juga merupakan Presiden Kesatuan Pekerja MLSB telah menerima Anugerah Sepanjang Hayat. Norizan telah berkhidmat sejak 1978 dan memegang beberapa jawatan bermula sebagai Fitter Kimpalan, Mekanik Kanan, Penolong Pengurus dan akhirnya Pengurus.

Di atas sifat dedikasi dan semangat beliau telah banyak membantu syarikat untuk menjana pendapatan melalui perkhidmatan pembaikan kenderaan ringan dan berat di bengkel. Ini dapat diihat melalui hasil dan usaha keras beliau bagi memastikan syarikat mencapai keuntungan semaksimum mungkin. Pencapaian beliau yang amat membanggakan ialah jualan berjumlah RM2.9 juta sepanjang tahun 2013-2019.

Encik Johari bin Abdul Rahman

Turut menerima anugerah pada malam tersebut ialah Encik Johari bin Abdul Rahman, Pengurus MLSB Kedah Utara. Beliau yang berasal dari Sik Kedah telah berkhidmat di MLSB sejak 39 tahun lalu dan telah menerima Anugerah Gold bagi kategori Pengurusan Terbaik. Beliau merupakan pegawai yang bertanggungjawab membuka cawangan baru iaitu MARA Liner di Serdang pada 1995.

“Pengalaman yang paling berharga bagi saya sepanjang bekhidmat ialah saya meneroka laluan baharu iaitu laluan Kulim, Serdang dan Selama Perak. Sebagai orang lama dan bakal menamatkan perkhidmatan pada Januari tahun hadapan, suka saya menasihatkan kepada generasi baru agar melakukan tugasan dengan hati yang ikhlas” katanya.

Di samping anugerah yang disebutkan tadi turut disampaikan adalah Anugerah Teknikal Terbaik, Anugerah Operasi Terbaik, Anugerah Pengurusan Cawangan Terbaik dan Anugerah Pemandu Terbaik. Kesemua penerima anugerah telah menerima cek, hadiah dan sijil penghargaan.

This entry was posted in Pelaburan and tagged . Bookmark the permalink.