Pelajar Kolej Profesional MARA Seri Iskandar Ungguli World Innompic Games Ke 3 2019

Kontinjen Kolej Profesional MARA Seri Iskandar

Perak, 5 Disember 2019 – Buat julung kalinya pelajar Kolej Profesional MARA Seri Iskandar (KPMSI) ungguli World Innompic Games 2019 (WIG) dengan memenangi anugerah Best Innovation Team Gold Award yang merupakan anugerah utama menjadi rebutan semua pasukan untuk dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Pasukan.

Pasukan ini telah berangkat ke Ghaziabad India pada 26 Nov 2019 untuk menyertai pertandingan WIG yang ke 3, 2019 dan mengalahkan peserta dari negara lain seperti negara-negara German, Rusia, Bulgaria, Singapura, India, Maghribi, Afghanistan, Nepal, Finland, Kazakhstan, Arab Saudi dan Amerika Syarikat.

Pertandingan ini mengukur para peserta secara holistik berkaitan kreativiti produk, idea, pengzahiran idea menerusi pembentangan, role play dan rupa bentuk sesuatu produk itu sendiri.

Menurut pengurus pasukan Hasnurlisda Hilmi (pensyarah pengajian English Communication), kami bukan saja membawa nama Kolej Profesional MARA, tetapi juga mewakili MARA dan negara tercinta.

“KPMSI tidak akan berhenti berusaha untuk menghasilkan lebih banyak inovasi selepas ini dan kami mahu terus bersaing secara kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya hari ini.

Tambah jurulatih pasukan Siti Zaleha M Rajoli (pensyarah pengajian International Business), mereka menubuhkan pasukan hanya pada bulan Oktober dan dari masa itulah latihan serta usaha untuk memperbaiki kemahiran dijalankan.  Penat Lelah mereka berbaloi apabila mencapai kejayaan seperti ini dengan hanya mempunyai kurang dari 6 minggu untuk berlatih.

“Memandangkan inovasi kini sudah menjadi tanda aras global, maka pelajar perlu didorong untuk memiliki keupayaan mencipta idea dan inisiatif strategik yang baharu, unik dan bermanfaat, sekali gus berfungsi sebagai pemangkin pembangunan sesuatu bidang,” kata Siti Zaleha.

Untuk rekod, Kolej Profesional MARA Seri Iskandar turut memenangi Best Intellectual Teamwork, Best Innovator Award oleh Muhammad Razin Khaliq Hadi (Diploma International Business), Muhammad Shahriz  Shahezan (Diploma in International Business) pula memenangi Best Actor Award dan Best Actress Award diungguli oleh Anis Afiqah Faidzuli (Diploma in English Communication).

Bahagian Pendidikan Tinggi (BPT) pernah menghantar wakil ke pertandingan WIG yang pertama di Pune India pada tahun 2017 dan pada tahun 2018, pelajar-pelajar dari beberapa KPM, Kolej MARA dan UniKL telah dipilih mewakili MARA di mana kesemua pasukan turut berjaya menempah nama di kedua-dua pertandingan.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.