Pelajar Kolej MARA Seremban Dinobat Terbaik Dunia

Story_ZIELA

Pelajar Kolej MARA Seremban yang dinobat terbaik dunia

Seremban, 29 November 2019 – Seramai lima orang pelajar Kolej MARA Seremban yang mengikuti Program A-Level telah menerima anugerah dalam Majlis ‘Outstanding Cambridge Learner Awards’ di Holiday Villa Subang Jaya. Anugerah ini diberikan kepada pelajar yang mendapat pencapaian cemerlang semasa peperiksaan peringkat AS Level.

Menurut Pengarah Kolej MARA Seremban, Dr. Sa’aidah Abdul Rahman, anugerah ini diberikan oleh Cambridge Assessment International Education (CAIE) untuk pelajar yang telah mendapat markah tertinggi di seluruh dunia dan juga tertinggi di seluruh negara. Seramai lebih daripada satu juta pelajar telah menduduki peperiksaan ini di hampir 10,000 pusat di seluruh dunia termasuk UK, USA, China, India, Singapura, Eropah, Amerika Selatan, Timur Tengah dan juga Malaysia.

“Kelima-lima pelajar ini sedang menunggu tawaran untuk mendapat tempat di universiti terkemuka dunia seperti University of Oxford dan London School of Economics and Political Science (LSE),” kata Dr. Sa’aidah.

Pelajar yang telah mendapat anugerah ‘Top in World’ untuk subjek Matematik adalah Muhammad Adam Abdul Rashid, Raziq Kamaruddin, Nur Hidayah Khosim dan Muhamad Danial Yamany Dicky Yamany. Manakala pelajar yang mendapat anugerah ‘Top in Country’ untuk subjek Perakaunan adalah Muhammad Amirul Adam Mohamad Zamri.

Oleh itu, rakyat Malaysia khususnya buat warga MARA berasa bangga atas pencapaian cemerlang anak-anak pelajar yang semakin menonjol di mata dunia. Tahniah dan syabas diucapkan.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.