MARA institusi pendidikan Malaysia pertama menyediakan perkhidmatan kaunseling

Sesi Walkabout Dato’ Azhar ke booth pameran yang diadakan di Lobi MARA

Oleh: Akmal Azlan

Kuala Lumpur, 9 Oktober 2019 – Semenjak tahun 1972, Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menyediakan perkhidmatan kaunseling sepenuh masa di bawah institusi pendidikan MARA. Khidmat kaunseling ini telah beroperasi selama 47 tahun dan juga memberi perkhidmatannya kepada seluruh kakitangan MARA.

Menurut Ketua Pengarah MARA, Dato’ Azhar Abdul Manaf, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Seremban merupakan institusi pertama yang memulakan perkhidmatan kaunseling pada tahun 1972.

Bertemakan “MARA CAkna Kesejahteraan Mental” membawa maksud kita mengambil berat akan kesihatan mental agar memperoleh kesihatan yang positif di mana penting untuk mengekalkan momentum produktiviti harian dan mampu menangani masalah kehidupan dengan tindakan yang betul.

“MARA pada masa ini mempunyai 151 orang kaunselor di pusat Insititusi Pendidikan MARA (IPMA) yang memberi perkhidmatan kaunseling kepada 57,000 orang pelajar kita,” katanya.

MARA juga mempunyai 24 orang kaunselor dalam subsidiari pendidikan MARA iaitu UniKL, 11 orang kaunselor KPTM, dan 2 orang kaunselor GMI.

“Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) setakat tahun ini merekodkan 300 juta penduduk dunia mengalami masalah kemurungan manakala 260 juta penduduk dunia mengalami anxiety disorder.

Rekod masalah kesihatan mental berdasarkan laporan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia juga mencatatkan golongan berusia 16 tahun ke atas pada kadar 2.9 peratus bersamaan 4.2 juta penduduk Malaysia.”

Masalah ini berpunca daripada masalah tekanan kerja, masalah perhubungan, keganasan rumah tangga, dan didikan ibu bapa.

Dato’ Azhar menyeru kepada warga MARA agar mendapatkan khidmat kaunseling daripada kaunselor MARA untuk membantu mengurangkan tekanan masalah sekiranya memerlukan khidmat mereka.

“Saya seru kepada semua warga MARA, berjumpalah dengan kaunselor MARA agar membantu mengurangkan masalah yang kita hadapi.

Jangan biar stigma berlaku terhadap diri kita. Tidak semestinya kita berjumpa dengan kaunselor membawa maksud kita mempunyai masalah. Itu tidak benar sama sekali,” tegasnya.

“Kita berjumpa dengan kaunselor untuk berkongsi masalah kepada mereka dan jangan berjumpa dengan orang yang salah iaitu orang yang tidak mempunyai pengiktirafan dalam bidang kaunselor,” katanya ketika memberi ucapan perasmian ini.”

Dato’ Azhar telah merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kaunseling dan Psikologi 2019 di Lobi MARA yang dihadiri oleh penceramah jemputan Dr. Abdul Halim, Presiden Kaunseling Antarabangsa Malaysia serta warga MARA semalam.

 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.