DocMove : APLIKASI PERTAMA MESRA ASNAF LUAR BANDAR

840A7706

YB Dato Seri Rina Mohd Harun, Menteri KPLB menandatangani plak pelancaran DocMove di MERCU, RTC Gopeng Perak.

Oleh: Mohd Taufek Mohd Noh

Perak, 2 Oktober 2019 – DocMove Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat Social Enterprise yang menyediakan perkhidmatan doktor dari rumah ke rumah untuk membuat rawatan kesihatan yang menyasarkan kepada golongan tua dan B40 di kawasan luar bandar.

Selain itu, perkhidmatan ini juga membantu mengambil berat serta memantau kesihatan ibu bapa bagi anak-anak mereka yang berada di perantauan.

Tawaran diberikan dengan hanya membayar yuran mampu milik serendah RM250 setahun, pesakit akan dipantau dengan memberikan kemudahan dan rawatan secara percuma setiap bulan.

Aplikasi DocMove ini yang dibangunkan dengan bantuan Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui skim BASE, boleh dimuat turun melalui aplikasi Google Apps atau Play Store yang hanya boleh digunakan oleh doktor yang menyertai DocMove disamping menjana pendapatan tambahan.

Inisiatif ini yang diilhamkan oleh Dr Hanafi Yahya dari Slim River, Perak merupakan Alumni MRSM Serting yang memulakan perniagaan beliau melalui bimbingan MARA dan katanya telahpun memperluaskan DocMove ini melalui Pusat Fisioterapi.

Dengan kemudahan aplikasi ini, semua pesakit di bandar mahupun di luar bandar dengan mudahnya untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan kesihatan terus ke rumah.

Bermula pada Julai 2017 Poliklinik Dr. Hanafi yang terletak di Slim River Perak, DocMove mengorak langkah dengan membuka klinik ke-4 pada tahun 2018 di Behrang dengan bantuan skim SPIM MARA dan sehingga kini, DocMove telah disertai oleh 12 orang doktor daripada Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.  DocMove juga mempunyai lebih 200 ahli dan pelanggan yang telah berdaftar untuk melayakkan mereka menerima rawatan berkala setiap bulan.

Mohd Haris Haridas Abdullah salah seorang asnaf dari Muallim Perak berkata, “saya sangat bersyukur dan berterima kasih kerana dengan hanya RM250 setahun, saya boleh menikmati kemudahan dan rawatan ini secara berkala pada setiap bulan.”

Dengan permintaan yang tinggi dan kejayaan yang diperoleh, DocMove terus mengembangkan lagi perkhidmatan ini dengan membuka cawangan ke-10 di Bangi Selangor yang telah dilancarkan baru-baru ini oleh YB. Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar bersempena Program MERCU di RTC Gopeng, Perak.

DocMove juga telah menandatangani MOU bersama KASIH Holding Negeri Selangor dan KASIH Holding Wilayah Persekutuan untuk merawat golongan asnaf melalui peruntukan zakat.

Seorang lagi asnaf Muallim Perak, Hasnah Ahmad Bakri yang dihubungi berkata, “saya juga berasa amat bersyukur atas kemudahan yang diberikan melalui peruntukan zakat kerana dapat mengurangkan beban saya seterusnya dapat menikmati kemudahan dan rawatan DocMove ini pada setiap bulan.”

Justeru melihat potensi DocMove yang semakin berkembang, MARA terus mengukuh dan memperkasakan model perniagaan ini melalui ekosistem pembangunan keusahawanan dengan terus memberikan latihan serta bantuan pembiayaan perniagaan.

Bagi yang ingin mendapatkan perkhidmatan DocMove ini, bolehlah terus menghubungi talian Hotline 016-9247880 atau pergi ke laman Facebook DocMove.

 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.