Anas tampil dengan bakat Freestyler Bola Malaysia

Anas bergelar juara Piala Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pesta rakyat di Bangi, Selangor

Oleh: Akmal Azlan

Kuala Lumpur, 1 Oktober 2019 – Minat dan kesungguhan dalam mengasah bakat semula jadi boleh mencipta peluang individu untuk mencapai prestasi yang hebat.

Anas Hakimi, 18, yang berbakat besar dalam Freestyler Bola menjadikan dirinya lebih berkeyakinan menceburi bidang itu hingga menjuarai kejohanan freestyler tempatan dan juga memperoleh kemenangan di peringkat antarabangsa.

Baru-baru ini, beliau telah memenangi tempat pertama dalam piala Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pesta rakyat di Bangi, Selangor dengan membawa pulang sejumlah wang bernilai RM 3000 bersertakan trofi.

Pelajar Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Rembau itu mula meminati sukan freestyler bola ini ketika berusia 14 tahun yang pada awalnya, beliau hanya meminati sukan bola sepak.

Anas berkata, setelah melihat dirinya mempunyai potensi besar dalam bidang ini, beliau pun mula berlatih dan mencari kemahiran menimbang bola hanya melalui Youtube.

“Saya mula mengenal pasti kelebihan bakat diri saya ketika saya cuba untuk mencipta beberapa skills melalui video Youtube yang dipamerkan oleh beberapa Freestyler Bola dunia yang terkenal.

Tambahnya lagi, “bermula dari saat itu, saya semakin gigih berlatih dengan sekurang-kurangnya 2 jam sekali sehari pada waktu petang dan malam,” katanya.

Bermula dari situ, anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik itu telah menyertai kejohanan freestyler tempatan dengan memperolehi tempat kedua semasa pertandingan terbuka yang diadakan di Stadium Shah Alam pada tahun 2017.

Kemudian, beliau mula mengorak langkah lebih jauh apabila memberanikan diri menyertai kejohanan terbuka freestyler bola di Singapore dan Vietnam pada tahun 2018.

Cabaran seorang Freestyler?

Anas merupakan seorang pelajar KKTM Rembau dalam bidang Diploma Rekabentuk Media Digital serta merupakan pelajar baru di kolej tersebut.

Setiap perkara yang kita lakukan sudah pasti mempunyai cabaran yang perlu dihadapi apabila kita hendak mencapai sesuatu keinginan dan matlamat.

“Cabaran yang paling hebat ialah saya perlu membahagikan masa belajar dan latihan setiap hari.

“ia merupakan satu cabaran utama kerana perlu mengimbangi reputasi akademik di samping mensasarkan kejayaan yang jauh dalam bidang sukan freestyler bola ini,” katanya.

Walau bagaimanapun, Anas masih berupaya untuk mempunyai keputusan yang baik dalam SPM pada tahun lepas dan menambahkan lagi semangatnya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi seiring dengan perkembangan minat freestyler bola itu.

Selain itu, ibu bapa dan ahli keluarganya turut memberi sokongan moral terhadap Anas dengan menghadiri ke mana-mana kejohanan yang diadakan.

Apa yang menarik mengenai Anas ialah penglibatannya dalam sukan ini adalah secara individu tanpa ada sokongan luar untuk memberi bantuan kewangan, latihan dan sokongan lain dalam membantu meningkatkan lagi bakat besarnya.

Perancangan Anas di masa yang akan datang adalah membuat persediaan untuk menyertai pertandingan terbuka Freestyler Bola anjuran Redbull pada bulan Oktober ini.

Anas mensasarkan tempat pertama bagi merebut peluang keemasan yang dibiayai penuh oleh Redbull untuk ke Pertandingan Terbuka Freestyler di Miami.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.