Dulu jurutera, kini usahawan tudung muslimah

Hazrin (enam dari kanan) bersama warga kerja D’Mahligai Scarf.

oleh : mfadhly

Pontian – Siapa sangka berniaga tudung muslimah menjadi sumber rezeki bagi usahawan MARA, Mohd Hazrin Ahmad, pengasas D’Mahligai Scarf yang dahulunya bekerja sebagai jurutera selama 11 tahun.

“Saya membuat keputusan berniaga tudung setelah 3 bulan solat istikharah. Saya sendiri tidak menyangka petunjuk yg Allah beri ini satu keputusan yang betul dan memberikan hasil yang baik. Daripada jurutera menjadi usahawan tudung adalah suatu perubahan kerjaya yang tidak pernah saya fikirkan,” katanya.

Hazrin yang pernah memenangi Pertandingan RBC pada tahun 2016 berkata, beliau memulakan perniagaan dengan modal sebanyak RM500 dan atas sambutan pelanggan-pelanggan online yang sangat baik, modal pusingan sentiasa dapat dipertingkatkan dengan cepat dari masa ke semasa.

“Dengan modal awal RM500, saya mengambil stok permulaan sebanyak 15 helai dari pemborong dan jual kepada rakan- rakan serta saudara mara. Setiap kali saya ambil, mesti habis. Sehinggalah saya berani mengambil dalam kuantiti yang lebih besar dan mula memasarkan secara online,” katanya lagi.

Tambah Hazrin, beliau juga tidak menyangka hari pertamanya berniaga secara online mendapat sambutan yang sangat baik. Beliau masih ingat gambar tudung yang dimuat naik pada pukul 3 pagi mendapat beratus respons dan mesej yang ingin membelinya walaupun ketika itu jumlah rakan di Facebook tidak sampai 100 orang pun.

“Saya mulakan perniagaan online dengan apa yang ada. Laptop yang telah berusia 5 tahun dengan beberapa keypad telah hilang. Di kampung juga kelajuan internet sangat perlahan sehinggakan nak upload 20 gambar pun mengambil masa sehingga 2 Jam,”katanya.

Sambung beliau, yang sebenarnya ialah faktor keberkatan dan usaha yang kita berikan adalah penyumbang utama kepada kejayaan. Beliau berhenti kerja dahulu baru memulakan perniagaan bagi memastikan keberkatan masa dan rezeki semasa bekerja adalah terjamin.

“Jika saya memulakan perniagaan secara sampingan semasa bekerja, sudah tentu saya akan menggunakan sebahagian masa bekerja saya untuk menguruskan perniagaan. Itu tidak berkat. Perniagaan sukar untuk maju,” katanya.

Beliau bersyukur mengenali MARA yang telah banyak berjasa dan menyumbang kepada kejayaan perniagaan beliau. Lot- lot perniagaan yang sekarang beliau sewa, mesin- mesin jahitan dan peralatan serta ilmu keusahawan yang sedang beliau praktiskan kesemuanya adalah hasil dari sumbangan dan didikan pihak MARA.

“Saya amat berterima kasih kepada MARA daerah Pontian yang banyak membantu saya dalam mengembangkan bisnes tudung, menerima geran RM30 ribu skim PUTEK dan mengikuti Latihan Pembangunan Usahawan (LPU) sehinggalah saya berjaya ke hari ini,” tambahnya lagi.

Hazrin berkata lagi, dengan geran yang diberikan oleh phak MARA, beliau telah memperkenalkan program Home Tailor yang dapat membantu golongan penduduk setempat terutamanya suri rumah tangga yang berkemahiran menjahit untuk menjana pendapatan sampingan di rumah.

“Program Home Tailor D’Mahligai Scarf terbuka kepada suri rumah tangga yang mahir menjahit. Mereka diberikan mesin jahit, latihan dan projek. Anggaran pendapatan mereka sekarang antara RM1 ribu ke RM2 ribu setiap bulan,” katanya.

Nasihat beliau kepada usahawan- usahawan baru, binalah perniagaan dengan ikhlas, tanam keberkatan dalam rezeki, bangunkanlah kumpulan kerja dalam suasana berkasih sayang dan ingatlah keluarga selalu yang sentiasa mendoakan kejayaan kita.

“Bisnes adalah kehidupan, kita bina bisnes dan kita bina kehidupan,” katanya.

D’Mahligai Scarf :
https://www.facebook.com/dmahligaiscarf.dms
https://dmahligaiscarf.com

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.