Jerebu tidak halang orang ramai mengunjungi Karnival IPMA @ Kuala Lumpur

Pengunjung Karnival IPMA terus mendaftar permohonan ke Institusi Pendidikan MARA

Kuala Lumpur, 21 Sept. – Keadaan berjerebu di sini hari ini, tidak menghalang orang ramai daripada mengunjungi Karnival Institusi Pendidikan MARA (IPMA) 2019 yang berlangsung di Lobi, Ibu Pejabat MARA, Jalan Raja Laut bermula 20 hingga 22 September 2019.

Karnival Institusi Pendidikan MARA (IPMA) adalah program tahunan bagi membuka peluang kepada pelajar lepasan SPM dan lulusan sijil kemahiran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Sebanyak 10 institusi yang terlibat antaranya Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), German Malaysian Institute (GMI), Kolej Profesional MARA (KPM), Kolej MARA (KM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), MARA Japan Industrial Institute (MJII), Institut Kemahiran MARA (IKM) dan GIATMARA.

Bagi Muhammad Asraf, 23, dari Klang, Selangor yang mempunyai syarikat pembersihan berkata beliau mengambil kesempatan untuk hadir ke karnival ini bagi melihat peluang pendidikan yang ditawarkan oleh MARA yang bersesuaian dengan kelayakannya bagi mengembangkan perniagaan syarikatnya dalam bidang yang baru.

“Alhamdulillah, saya berjaya mendapat tawaran di Institut Kemahiran MARA Jasin, Melaka dalam kursus Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Domestik dan Industri),” katanya.

“Saya akan berusaha dengan sebaiknya untuk mengikuti kursus ini bagi mengembangkan perniagaan saya di masa hadapan ,” katanya lagi.

Dijangkakan seramai lebih 3,000 pengunjung yang hadir untuk mendapatkan maklumat berkaitan peluang pendidikan di karnival ini.

Pelbagai program dan aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung seperti pertandingan permainan beyblade milenia, robot soccer dan perkhidmatan SPA oleh pelajar GIATMARA.

Karnival akan berakhir pada 22 September 2019 pada jam 5.00 petang.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.