KKTM berjaya cipta kaki palsu guna teknologi sedia ada

Adly membantu Muhammad Shahrul Irfan memakai kaki palsu pada Majlis Pelancaran Program MARA Cakna Komuniti di Kampung Padang Jambu, Bukit Katil

Produk dinamakan, Light Weight Prosthetic Leg itu menggunakan teknologi dan kepakaran sedia ada, terdapat di institusi terunggul terbabit dan dijadikan sebagai bahan bagi projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Ciptaan hasil gabungan idea pensyarah dan pelajar KKTM Kuantan itu, mempunyai keistimewaan tersendiri kerana komponen pembuatan berbeza dengan apa yang berada di pasaran.

Ketua Program Reka Bentuk Pembuatan KKTM Kuantan, Iswadi Ahmad, berkata inisiatif penghasilan Prosthetic Leg itu menggunakan sepenuhnya teknologi dan kepakaran daripada KKTM Kuantan.

“Kami mempunyai peralatan 3D Printing seperti Selective Laser Sintering (SLS), Selective Laser Melting (SLM) dan Direct Metal Laser Melting (DMLM) yang boleh membuat Prosthetic Leg. Selain mendapat nasihat dan kerjasama pakar dari Mahkota Orthotic & Prosthetic, Indera Mahkota, Kuantan, kaki palsu itu berjaya dihasilkan,” katanya pada majlis penyerahan kaki palsu itu kepada penerimanya, Muhammad Shahrul Irfan Abdul Razak.

Majlis disempurnakan, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada program pelancaran MARA Cakna Komuniti di Balai Raya Kampung Padang Jambu, Bukit Baru, di sini.

Iswadi berkata, berbanding rekaan kaki palsu yang lain, produk direka 50 peratus lebih ringan kerana di dalamnya terdapat beberapa bahan yang kebanyakannya tiada dijual di pasaran.

“Dengan reka bentuk dihasilkan oleh kami sendiri, produk terbabit hampir menyamai dengan titanium, manakala harganya pula jauh lebih murah,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/09/607724/kktm-berjaya-cipta-kaki-palsu-guna-teknologi-sedia-ada

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.