Mercu Aspirasi Keusahawan Bumiputera tawar transaksi aplikasi e-Wallet

GOPENG 13 Sept. – Buat julung kalinya, program Mercu Aspirasi Keusahawanan Bumiputera yang kali keduanya dianjurkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperkenalkan platform digital dengan menerapkan elemen pembayaran tanpa tunai menggunakan MARAeps e-Wallet.

Dibangunkan dengan kerjasama Rural Capital Berhad (RCB) bersama Maybank QR Pay, ia merupakan suatu inisiatif bagi menerapkan komuniti bebas tunai melibatkan usahawan dan komuniti MARA.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, transaksi melalui e-Wallet itu bukan sahaja memudahkan pengguna, malah memberikan pulangan lebih baik kepada usahawan.

“Kadang-kadang apabila kita hendak membeli sesuatu, kita tidak perlu bawa wang tunai merata-rata, cukup dengan telefon bimbit yang kita ada dan boleh ditambah nilai.

“Kalau boleh, kita ingin memperluaskan lagi penggunaannya di kampung serta di kedai-kedai. Kalau kita ada ‘cashless village’ di India, kenapa tidak di Malaysia,” katanya.

Beliau ketika ditemui selepas merasmikan program berkenaan yang diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini hari ini.

Terdahulu ketika berucap pada majlis tersebut, Rina menggesa para usahawan khususnya di luar bandar supaya merebut peluang perniagaan atas talian kerana ia menyumbang sebanyak RM85.8 bilion kepada

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan pertumbuhan sebanyak 12 peratus dari tahun 2012 hingga 2017.

Selain itu, beliau berkata, hasil daripada kesinambungan pembukaan 18 klinik perubatan atau U.n.i Klinik pada Julai lalu, MARA juga sedang merencanakan pembukaan U.n.i Farmasi bagi membantu ahli farmasi untuk menjalankan perniagaan sendiri.

“Oleh itu, saya minta ia diuar-uarkan kepada sesiapa yang berminat. Buat permulaan, sasaran kita ialah sebanyak 10 U.n.i Farmasi.

“Yang penting kita hendak pastikan ia berjaya. Seminar dan kursus akan kita adakan sebelum pembiayaan diberikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Sumber : https://www.utusan.com.my/berita/nasional/mercu-aspirasi-keusahawan-bumiputera-tawar-transaksi-aplikasi-e-wallet-1.970287

This entry was posted in Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.