MARA sasar buka 10 U.n.i Farmasi

MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun merasmikan Aspirasi Keusahawan Bumiputera (MERCU) di Pusat Transformasi Luar Bandar, Gopeng, hari ini. – Foto Muhaizan Yahya

GOPENG: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan untuk menubuhkan sekurang-kurangnya 10 U.n.i Farmasi di seluruh negara sebagai permulaan untuk memperluaskan bidang baharu menerusi Program Pembangunan Usahawan Profesional (PROSPEC).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, berkata selepas mendapat sambutan menggalakkan dengan pembukaan 18 U.n.i Klinik, MARA mewujudkan bidang baharu menerusi U.n.i Farmasi.

Katanya, kesinambungan bidang baharu itu diharapkan berjaya menarik lebih ramai ahli farmasi untuk menjalankan perniagaan sendiri.

“Sasaran kita 10 (U.n.i Farmasi) sebagai permulaan dan yang penting kita mahu jadikan (program) itu berjaya.

“Prosedur (untuk membuka U.n.i Farmasi) sama seperti U.n.i Klinik, hendak berniaga cara pemikiran perlu tukar, hendak jadi usahawan perlu hadiri seminar dan itu perlu dilalui sebelum pembiayaan sehingga RM300,000 diberi kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Aspirasi Keusahawan Bumiputera (MERCU) di Pusat Transformasi Luar Bandar, di sini hari ini.

Rina berkata, permohonan untuk menyertai U.n.i Farmasi sudah dibuka dan pihaknya mengalu-alukan ahli farmasi melayari laman sesawang MARA bagi mengetahui lebih lanjut mengenai bidang berkenaan.

Katanya, pihaknya bagaimanapun tidak tergesa-gesa untuk membangunkan bidang berkenaan berikutan ada beberapa prosedur yang perlu dilalui oleh ahli farmasi yang mahu menceburi bidang perniagaan.

“Kita ada saringan, ada beberapa peringkat dan kalau kita tidak mulakan pada tahun ini, kita akan mulakan pada awal tahun hadapan.

“Daripada situ kita saring dan berikan seminar serta kursus sebab ahli farmasi yang hendak jadi usahawan perlu ada penambahbaikan dari segi ilmu untuk jadi usahawan,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/09/606613/mara-sasar-buka-10-uni-farmasi

This entry was posted in Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.