MARA melahirkan pereka fesyen professional melalui MIF

WhatsApp Image 2019-09-11 at 4.55.17 PM

Wan dan Mary dengan busana rekaannya di Runway Fashion Show Gen F

KUALA LUMPUR – Ramai yang menganggap bidang fesyen hanya sekadar minat untuk berketerampilan cantik dan berpendapat bahawa bidang itu tidak perlu dipelajari sehingga ke peringkat tertinggi. Namun siapa sangka, gandingan dua pereka, Mohd. Hazzerwan Mohd. Hazlee dan Siti Mariam Musa yang dinobatkan sebagai juara program pencarian pereka fesyen terbitan Astro, Gen F musim pertama pada tahun lalu, merupakan lulusan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Rembau, Negeri Sembilan.

Menggunakan label Wan & Mary bagi menyertai pertandingan itu, ternyata kejayaan yang diperoleh mereka adalah hasil daripada bakat serta minat yang mendalam dan keberkesanan latihan yang disediakan MARA (Majlis Amanah Rakyat), semasa kedua-duanya merupakan pelajar diploma dalam bidang reka bentuk fesyen pada tahun 2008. 

Mereka mengorak langkah dengan menyertai MARA in Fashion (MIF) yang merupakan salah satu program pembangunan usahawan di bawah MARA. Hazzerwan dan Mariam sememangnya merupakan antara peserta MIF yang muda, berbakat besar dan berkaliber, yang dilihat sebagai sangat berpotensi tinggi untuk diketengahkan.

Menerusi MIF, mereka telah diberikan pendedahan serta latihan sebagai usahawan fesyen untuk memahami proses keseluruhan dalam menghasilkan koleksi rekaan yang sealiran trend kontemporari, bercitarasa global serta memenuhi kehendak pasaran semasa.

Melalui MIF juga, kedua-duanya telah dibantu oleh pakar-pakar industri fesyen negara untuk meletakkan jenama mereka sebaris dengan pereka fesyen Malaysia yang lain bagi menembusi pasaran tempatan dan luar negara.

Menyentuh mengenai peranan MARA untuk MIF, menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun, MARA secara berterusan menyediakan kemudahan pembiayaan dan perkhidmatan dalam program pembangunan keusahawanan melalui MIF ke arah membentuk para pereka fesyen muda untuk menjadi usahawan berjaya yang berkemahiran, berkeyakinan, inovatif, terkehadapan, unik dan seiring dengan kebangkitan pereka muda Asia dan dunia.

Sehubungan itu, sebelum melakar kejayaan selepas bergelar pereka fesyen sebagai produk MIF, Mariam menegaskan dia telah mengharungi pelbagai cabaran, terutama apabila ada segelintir pihak yang memandang rendah terhadap kerjaya pilihannya itu.

“Memang ada sesete­ngah pihak yang menganggap MARA lebih kepada sebuah institusi kerajaan yang mempunyai program yang tidak menarik dan hanya fokus kepada keusahawanan dan pinjaman dana.

“Namun sebaliknya, tanggapan mereka itu tidak tepat sama sekali. MARA menyediakan pelbagai latihan profesional yang bersesuaian dengan bidang-bidang tertentu, selari dengan perkembangan semasa dan amat berguna untuk sesiapa sahaja yang mempunyai jiwa keusahawanan,” tegasnya yang memilih untuk menjadikan karier pereka fesyen sebagai punca rezeki disebabkan minat yang mendalam.

MIF cipta jenama Wan & Mary
Mengenai terciptanya jenama Wan & Mary, Mariam yang menjadikan pengkritik dan pengulas fe­syen, Zaihani Mohd. Zain sebagai sumber rujukan­nya itu berkata, ia lahir daripada Gen F.

“Pada awalnya, saya dan Hazzerwan menyertai uji bakat program itu secara berasingan. Namun, pihak Astro mengambil keputusan supaya acara itu disertai secara berpasangan.

“Memandangkan kami berdua sudah mengenali antara satu sama lain, kami memilih untuk bergandingan sehingga berjaya menjadi johan program realiti itu,” ujarnya.

Menurutnya lagi, meskipun dia dan Hazzerwan mempunyai cita rasa fesyen yang agak berbeza antara satu sama lain, ia sebaliknya tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk bekerjasama.

Sementara itu, Hazzerwan pula berkata, dia pernah menjadi pelajar MIF yang pertama terpilih untuk membuat pameran fesyen di Muzium dan Galeri Antarabangsa Scottish Borders Scotland.

“Baru-baru ini, jenama Wan & Mary juga terpilih menjadi peserta lima terbaik dalam kategori pereka Fesyen Baru Pilihan Malaysia untuk Anugerah Stail majalah Eh! anjuran Blu Inc. Media,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai seorang pereka muda, kejayaan tersebut begitu membanggakan terutama sekali apabila berpeluang melanjutkan pelajaran di Heriott Watt University, Scotland dalam bidang reka bentuk fesyen untuk industri di bawah tajaan MARA.

Berhasrat untuk menembusi pasaran dalam dan luar negara dengan membina empayar perniagaan seperti idolanya Datuk Jimmy Choo dan Datuk Bernard Chandran, ujar Hazzerwan: “Empayar fesyen yang dibina Wan & Mary adalah bukti graduan MARA memiliki nilai tersendiri dan mampu bersaing hingga ke peringkat antarabangsa.”

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.