ProSPEC memacu keusahawanan bidang profesional MARA

“Melalui ProSPEC, MARA menggalakkan golongan profesional untuk menceburi bidang profesional dengan memberi sokongan dalam bentuk latihan keusahawanan,pembiayaan kewangan dan perkhidmatan konsultan yang menggunakan kepakaran dalaman. Perkara ini selari dengan strategi DPLB dalam memantapkan sistem pembiayaan dan memperkasakan kemudahan fizikal perniagaan.” -YB Datuk Seri Rina Mohd Harun

Kuala Lumpur, 10 September 2019 – Siapa kata doktor perubatan tidak boleh jadi usahawan? Melalui program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) yang diperkenalkan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur Royal College Of Medicine (UniKL RCMP), golongan profesional seperti doktor kini berpeluang menceburi bidang keusahawanan dan memahami selok-belok perniagaan bersandarkan kepakaran dimiliki mereka.

ProSPEC merupakan antara contoh program keusahawanan Mara yang dibangunkan merangkumi tiga elemen utama iaitu pembangunan usahawan atau individu, pembangunan perniagaan dan bantuan khidmat sokongan kepada usahawan dalam menjalankan sesuatu perniagaan.

Program ini dibangunkan dengan memberi penumpuan kepada bidang perubatan, farmasi, pergigian, perakaunan, perundangan, kejuruteraan dan sebagainya.

Namun, fokus pertama program ini ditumpukan untuk melahirkan usahawan profesional dalam bidang perubatan dan ia berjaya direalisasikan pada penghujung tahun 2018, di mana sebanyak 18 buah klinik di bawah satu jenama iaitu U.n.i Klinik bagi fasa pertama dibangunkan di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dengan kos keseluruhan pembiayaan berjumlah RM5.4 juta.

Doktor usahawan yang dilahirkan menerusi ProSPEC ini juga dipilih secara teliti melalui beberapa sesi saringan yang dijalankan pada Julai 2018.

Mara memilih hanya 40 doktor untuk menjalani latihan pembangunan usahawan ProSPEC. 20 doktor telah tamat menjalani latihan bagi sesi pertama, sementara 20 lagi akan diteruskan pada tahun ini.

Bagi fasa pertama, Mara melahirkan 18 usahawan yang membuka klinik sendiri di bawah satu jenama U.n.i Klinik dan mereka yang terpilih sebahagiannya merupakan pelajar-pelajar tajaan Mara di bawah UniKL, bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan tajaan-tajaan pelajaran Mara yang lain.

Menerusi program tersebut, doktor yang terpilih dibantu untuk membangunkan perniagaan mereka dengan mengadakan kerjasama melalui perkongsian pengalaman oleh pemain-pemain industri bidang perubatan dan agensi-agensi seperti Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), majlis perbandaran dan kerajaan tempatan, pembekal-pembekal teknologi juga perubatan bagi mewujudkan satu jaringan perniagaan serta membentuk ‘supply chain’ dalam perniagaan U.n.i Klinik.

Mara turut menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk pembiayaan perniagaan, khidmat nasihat sepanjang program, pemantauan perkembangan perniagaan, bantuan kajian pasaran, sewaan premis perniagaan dan sebagainya.

Selain itu, sistem sokongan yang dibina dalam kalangan peserta-peserta ProSPEC yang juga memiliki perniagaan sendiri di bawah U.n.i Klinik memberikan satu aura dan semangat yang jitu untuk membina perniagaan secara bersama-sama.

Jaringan perniagaan yang dibina dengan agensi-agensi berkaitan dan pemain industri membantu dan memudahkan para peserta untuk memenuhi semua keperluan yang ditetapkan bagi membolehkan perniagaan beroperasi dengan cepat.

Dengan adanya suntikan keseluruhan elemen dalam ekosistem keusahawanan Mara ini, program berkenaan diyakini dapat membantu usahawan (doktor) dan perniagaan mereka agar mampu bertahan dan berkembang maju.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.