Anak MRSM Harumkan Nama Malaysia di Bumi Korea

Oleh: Akmal Azlan

Kuala Lumpur, 6 September 2019 – Pelajar Maktab Rendah Menengah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab Gemencheh, Muhammad Solihin Bin Malek Rizal mengharumkan nama Malaysia setelah meraih pingat Emas dan Gangsa dalam ‘International Earth Science Olympiad 2019’ di Korea.

Pemuda yang berusia 17 tahun dan berperwatakan pendiam itu mempamerkan aksi cemerlang dan menewaskan negara-negara jiran dalam pertandingan tersebut.

Solihin berkata minat terhadap subjek Sains dan Matematik memberi keberanian untuk turut serta hingga ke peringkat antarabangsa.

“Alhamdulillah. Saya gembira kerana berpeluang mewakili Malaysia dan mampu bertanding dengan pihak lawan yang terdiri daripada pelbagai negara-negara hebat.”

“Kemenangan ini tidak saya jangka kerana dari segi persiapan tidak berapa mencukupi berbanding negara lain dan kelihatan bersiap sedia.”

Ujarnya lagi, “saya mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa saya, guru pembimbing iaitu Cikgu Ida dan Cikgu Fitriah kerana sentiasa membantu dalam membuat persiapan sebelum terbang ke sana.”

Di samping itu, anak kedua daripada empat orang adik beradik ini berasa teruja kerana pertama kali menjejakkan kaki di Korea dan sekali gus membawa pulang pingat emas serta gangsa dalam acara itu.

Cabaran pertandingan tersebut adalah menjawab soalan-soalan dan menyiapkan projek secara praktikal atau ‘hands-on’ yang perlu dibentangkan kepada pihak juri.

Beliau telah memenangi pingat emas dalam kategori Earth Science Project Team atau kategori berkumpulan. Ahli pasukan ini terdiri daripada pelbagai negara yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur untuk menjadi sebuah team. Bagi kategori individu pula, beliau berjaya memperolehi pingat Gangsa.

 

 

This entry was posted in Berita Kejayaan, Lain-Lain. Bookmark the permalink.