Kanak-kanak MARA hayati semangat kemerdekaan

Timbalan Ketua Pengarah Khidmat Pengurusan MARA, Puan Rohayah Mohd Zain bersama murid memperagakan pakaian kemerdekaan.

Oleh : mfadhly

Kuala Lumpur, 3 September 2019 – Bagi menyemarakkan semangat cintakan negara, MARA dengan kerjasama KEKAM, KSRM, PUSPANITA, KESUMA dan Persatuan Penyewa Premis Perniagaan mengadakan Pertandingan Menghias Kek, Pakaian Beragam Dan Mewarna Generasi Ceria Merdeka MARA 2019 sempena Hari Kebangsaan Kali Ke-62.

Penyelia Tadika MARA, Hamidah Hussin berkata, seramai 20 orang murid tadika dan 5 orang murid taska terlibat dengan mengayakan pakaian beragam dan 40 orang dalam acara mewarna.

Katanya, program ini bukan sahaja dapat menghimpunkan kanak-kanak dan ibu bapa bagi menghayati bulan kebangsaan malah secara tidak langsung menzahirkan semangat dan rasa cinta terhadap tanah air.

“Banyak aktiviti menarik yang mereka lakukan antaranya pertandingan mewarna dan memperagakan pakaian kemerdekaan kreatif bertemakan Sayangi Malaysia, Malaysia Bersih.

Hamidah berkata, generasi kanak-kanak berkenaan perlu mempunyai ketahanan mental bagi menghadapi pelbagai cabaran dunia yang semakin canggih.

“Mereka sebagai generasi pewaris negara masa hadapan perlu melengkapkan diri dengan semangat patriotik yang tinggi agar menjadi lebih kompetitif dan berdaya saing dengan dunia luar demi kelangsungan negara pada masa akan datang.

“Kanak-kanak ini perlu memahami dan menghayati sejarah perjuangan kemerdekaaan negara bagi menzahirkan semangat cintakan tanah air sejak kecil,” katanya.

Hadir sama merasmikan program ini, Timbalan Ketua Pengarah Khidmat Pengurusan MARA, Puan Rohayah Mohd Zain.

Seramai 6 orang terdiri daripada penyewa-penyewa MARA masing-masing turut mempamerkan kreativiti menghias kek bertemakan kemerdekaan.

This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.