Anak MARA teruja ke luar negara!

Pelajar tajaan MARA kelihatan gembira semasa menghadiri program persediaan ke luar negara

Oleh: Aiman Borhan

Kuala Lumpur, 28 Ogos 2019 – Peluang untuk menyambung pelajaran ke luar negara adalah sesuatu yang diimpikan ramai pelajar di Malaysia. Kemanisan ini lebih dirasai apabila mereka ditaja sepenuhnya oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Keterujaan ini dikongsi oleh Muhammad Jibril Saifullah Bin Kamarul Hisham, 20 di dalam Program Pra Pelepasan Pelajar Tajaan MARA ke Luar Negara.

“Pertama sekali saya rasa sangat bersyukur kerana telah terpilih untuk menerima bantuan pendidikan daripada MARA. Saya rasa lebih bertuah kerana dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang yang saya minati iaitu Bio Chemistry.”

Tambahnya lagi, “Sebagai persediaan sebelum berangkat, saya telah memastikan segala keperluan dan kelengkapan telah disediakan lebih awal. Saya sudah mula merancang kewangan yang bakal diterima oleh MARA bagi memudahkan urusan pengajian saya di sana nanti”.

Jibril turut menjelaskan MARA menjadi pilihan beliau untuk menaja pengajian ke luar negara dan hal ini adalah kerana tajaan MARA tidak terikat dengan kontrak perkhidmatan selepas tamat pengajian berdasarkan kursus yang ditawarkan hanya mendapat tajaan daripada MARA.

Jibril (kanan) bersama Mahirah (kiri) di Hotel Premiera ketika menghadiri program Pra Persediaan Pelajar

Bersama di dalam program ini adalah Mahirah Alwani Binti Ahmad Shahrul, 19 yang telah meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada MARA kerana mengadakan program ini.

“Bagi saya, program yang dianjurkan hari ini sangat membantu pelajar bagi mempersiapkan diri mereka sebelum berlepas ke destinasi masing-masing. Perkongsian daripada pegawai MARA telah memberikan pendedahan awal kepada kami tentang apa yang sepatutnya dilakukan sebelum berlepas.”

“Perkongsian daripada alumni penerima tajaan MARA juga banyak memberikan motivasi dan inspirasi kepada kami yang bakal ke luar negara.”

“Harapan saya adalah agar dapat menamatkan pengajian dengan jayanya dan mendapat perkerjaan di dalam bidang yang saya pelajari dan minati.”

Majlis penutupan Program Pra Lepasan Pelajar Tajaan MARA Ke Luar Negara telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Azhar Abdul Manaf yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah MARA Pendidikan, Dato’ Mohamed Roseli Bin Dol serta dianjurkan oleh Bahagian Penganjuran Pelajaran MARA.

 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.