KOLEJ MARA SEREMBAN CATAT KECEMERLANGAN DALAM PEPERIKSAAN A-LEVELS

Seramai 177 orang pelajar Kolej MARA Seremban (KMS) telah mencipta kecemerlangan dengan mencatatkan 100 peratus lulus dalam peperiksaan A-levels Cambridge Assessment International Education (CAIE) bagi tahun 2019. Daripada jumlah tersebut, 62 orang pelajar mengikuti bidang Sains Ikhtisas manakala 115 orang lagi mengikuti bidang Kejuruteraan.

Kejayaan ini lebih bermakna apabila seramai 149 orang pelajar KMS mendapat 13 mata dan ke atas, dengan 92 orang pelajar secara keseluruhannya mendapat semua A (15/15 mata) termasuklah 21 pelajar memperoleh 3A* (3A STAR). Rekod pencapaian ini melayakkan ramai pelajar KMS mendapat tempat di universiti terkemuka dunia terutamanya di United Kingdom.

Kolej MARA Seremban menyediakan pengajian peringkat A-levels kepada pelajar-pelajar lepasan SPM & IGCSE untuk membuka ruang kepada mereka melanjutkan pengajian ke luar negara. Sejak kolej ini memulakan program A-Levels pada tahun 2002, usaha berterusan telah dilaksana untuk memastikan momentum pencapaian dimantapkan bagi melahirkan pelajar cemerlang sejak di peringkat persediaan.

Bagi meraikan kejayaan pelajar dalam peperiksaan pada tahun ini, Kolej MARA Seremban bakal mengadakan Majlis Graduasi 2019 pada 29 Ogos 2019 di Casa Lagenda Convention Centre, Seremban, Negeri Sembilan.

 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.