Oleh: Ziela Amin
Putrajaya, 8 Ogos 2019 – Muhammad Adam Firdaus Mohd Daud 16, pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba teruja menyertai lawatan sambil belajar ke galeri Petrosains KLCC. Beliau merupakan salah seorang pelajar BUDI MARA yang berpeluang meneroka dunia sains dan teknologi secara lebih dekat dan mendalam.
Menurut Adam, kunjungan tersebut melengkapi impiannya untuk menjejak kaki ke Kuala Lumpur. Beliau merasakan lawatan ini merupakan pengalaman sekali seumur hidup kerana dapat mempelopori bidang sains dan teknologi yang sarat dengan maklumat dan pengetahuan interaktif berhubung dunia sains,teknologi, kejuruteraan, sejarah, geografi dan alam sekitar.
“Rasa macam tidak percaya saya dan kawan-kawan dapat melawat Petrosains . Segala ilmu yang kami peroleh akan diaplikasikan nanti.”
“Paling seronok apabila berada di check point ruang angkasa, kita boleh tahu macam mana seorang angkasawan bekerja dan paling menarik Mars Rovers yang digunakan untuk penerokaan mencari hidupan lain di planet-planet berbeza,”kata Adam yang ditemui di Majlis Hi Tea YB Menteri KPLB bersama 70 orang pelajar BUDI cemerlang MARA.
Adam juga menzahirkan rasa bersyukur kerana beliau telah dibantu oleh MARA menerusi program BUDI sejak berada di menengah rendah dan berjanji tidak mensia-siakan bantuan untuknya bahkan berazam mengekalkan kecemerlangan yang diraih.
“Saya bukan orang senang, lagi pun ibu tidak bekerja setelah ayah saya meninggal dunia. Saya pun tidak boleh hampakan harapan keluarga dan sembilan adik beradik yang lain,” tambah beliau.
Pada semester lalu, Adam mendapat keputusan yang membanggakan dengan keputusan CGPA 3.94 sehingga melayakkan beliau mengikuti program BUDI Holistic Development Program (BHDP) yang berlangsung selama tiga hari anjuran Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) MARA.
Selain itu, Adam turut aktif dalam bidang kokurikulum bahkan pernah mewakili maktab dalam pertandingan Olympiad Matematik MRSM Semalaysia dan pernah menggondol tempat pertama menerusi pertandingan Ihtifal Ulul Albab 2019 peringkat kebangsaan kategori nasyid.
Adam menyifatkan siri penjelajahan ini sangat bermakna buat beliau dan dapat merasai sendiri segala aktiviti yang disediakan.