
Peserta WSC mewakili negara yang terdiri daripada pelajar institusi pendidikan TVET@KPLB. Dari kiri : Haziq Fauzi Abdul Jalil (UniKL-MFI), Muhammad Amierul Aliff Abd Aziz (GIATMARA Kota Tinggi), Hanafi Osman (GIATMARA Saratok), Megat Muhammad Nurhan Munir (UniKL-MFI), Amir Syazwan Saridan (GIATMARA Taiping).
Oleh : mfadhly
Putrajaya, 8 Ogos 2019 – Seramai 9 orang yang terdiri daripada pelajar dan tenaga pengajar institusi pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) membawa harapan negara di WorldSkills Competition (WSC) kali ke-45 di Kazan, Rusia bermula 22 sehingga 27 Ogos 2019.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan apabila di antara seramai 20 orang peserta negara yang bakal menyertai WSC, GIATMARA Malaysia dan UniKL MFI merupakan antara institusi TVET yang julung kalinya berjaya menempatkan seramai 5 peserta bersama 4 pakar negara.
“Kita harus berasa bangga dan berani tampil di mata dunia apabila seramai 9 orang terdiri daripada 5 peserta dan 4 Pakar Negara merupakan pelajar dan tenaga pengajar di bawah institusi TVET@ KPLB bertanding di WSC, Kazan,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Bendera Malaysia Kepada Pasukan TVET@ KPLB Ke Worldskills Competition (WSC) 2019 di sini.
“Platform ini merupakan satu lonjakan yang baik kepada para peserta untuk bersaing dan sebagai penanda aras tahap kemahiran peserta negara di peringkat dunia yang akan memartabatkan TVET Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.
Peserta WSC yang mewakili Malaysia dari GIATMARA Saratok, Hanafi Osman berharap beliau dapat membawa pulang pingat emas dan menaikkan nama Malaysia dan GIATMARA di mata dunia.
Ujar Hanafi, “Harapan saya dalam pertandingan kali ini, saya akan cuba yang terbaik agar dapat membawa pulang pingat emas sekaligus dapat melonjak nama Malaysia dan GIATMARA di peringkat dunia.”
Pakar negara, Nor Azah Muhammad juga tenaga pengajar GIATMARA Rasah berkata beliau menggunakan segala pengalaman dan kepakarannya untuk melatih peserta negara dan berharap mereka dapat menyumbang pingat di WSC yang merupakan pertandingan berprestij dalam bidang TVET.
“Mereka dilatih dengan tenaga pakar negara yang berpengalaman dalam bidang masing-masing dan saya berharap mereka dapat menyumbang pingat di WSC dan mengharumkan nama Malaysia,” katanya.