Kuala Lumpur, 7 Ogos 2019 – Seramai 70 orang pelajar cemerlang di bawah Program BUDI MARA dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seluruh Malaysia telah diraikan dalam sebuah majlis minum petang bersama YB Datuk Seri Rina Mohd Harun di Dewan Lestari KPLB, Putrajaya.
Majlis ini adalah sebagai penghargaan kepada para pelajar yang telah menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam pencapaian akademik. Mereka yang cemerlang ini adalah pelajar yang memperolehi Purata Nilai Gred (PNG) 3.70 dan ke atas dalam peperiksaan semester akhir yang lepas.
Sebagaimana yang pernah diumumkan sebelum ini melalui media, pihak MARA telah memperkenalkan Program Bantuan Untuk Pendidikan MARA (BUDI) bagi meningkatkan pengambilan pelajar B40 dan juga dari kalangan kurang berkemampuan. BUDI adalah program melibatkan pemberian bantuan sepenuhnya seperti wang saku, wang caruman, pakaian seragam maktab, pakaian sukan, alatan persekolahan, buku teks dan keperluan asas asrama serta yuran-yuran yang wajib di bayar oleh pelajar.
Pada tahun ini, Kementerian telah memperuntukkan sebanyak RM 1,650,000.00 juta kepada 1,500 pelajar sedia ada di MRSM yang terlibat di bawah program BUDI ini. Program BUDI ini turut melibatkan penajaan dari beberapa GLC dan juga pusat zakat antaranya Yayasan Peneraju Pendidikan di bawah BUDI-TUNAS GELIGA PETRONAS, BUDI- PETRONAS, BUDI- YPM, BUDI- PNB dan juga dari Lembaga Zakat Selangor iaitu BUDI-ZAKAT SELANGOR.
Selain majlis bersama Menteri KPLB, pelajar cemerlang ini juga diberi peluang untuk menjelajah Kuala Lumpur dan Putrajaya menerusi BUDI Holistic Development Programme (BHDP) dengan memberi peluang kepada mereka mendapatkan pengetahuan dan pengalaman berkenaan laluan kerjaya serta meningkatkan nilai motivasi diri pelajar
Antara tempat-tempat lawatan adalah Universiti Malaya dan Petrosains yang akan memberi inspirasi kepada para pelajar untuk meneroka bidang pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta meningkatkan minat dalam bidang Sains dan Teknologi.
Sehubungan dengan itu, MARA juga ingin mempelawa syarikatsyarikat dan orang ramai terutamanya anak-anak ANSARA yang telah berpeluang mendapat pendidikan terbaik di MRSM suatu ketika dahulu untuk turut sama menyumbang kepada program BUDI. Semakin besar sumbangan yang diterima, maka semakin ramai anak di bawah kumpulan B40 dapat dibantu sepanjang pembelajaran mereka di MRSM.
Selain itu, MARA turut memberi bantuan kepada pelajar MRSM yang tidak berkemampuan dari segi kewangan semasa berada dalam tempoh pengajian. Bantuan ini diberikan bertujuan meringankan beban waris pelajar serta memastikan pelajar dapat memberi fokus kepada pengajian. Pelajar yang terpilih tidak akan dikenakan sebarang bayaran yuran, sebaliknya mereka turut dipertimbangkan untuk mendapatkan bantuan wang saku berjumlah RM50.00 sebulan serta pengecualian bayaran wang caruman sebanyak RM60.00 sebulan.
MARA sememangnya sentiasa prihatin untuk memastikan hasrat kerajaan membantu dan memberi akses pendidikan terbaik kepada anak B40 dapat dilaksanakan. Selari dengan hasrat kementerian melalui Dasar Pembangunan Luar Bandar, teras 3; Modal Insan Berkualiti, komited dalam melahirkan masyarakat yang mempunyai minda kelas pertama dengan penyediaan infrastruktur yang inklusif kepada pelajar terutamanya luar bandar.
Keprihatinan seluruh masyarakat sememangnya amat dihargai dan usaha harus digembleng bersama bagi menjayakan aspirasi nasional ini.