Kesusahan Keluarga Pembakar Semangat Kejayaan

Aidiel segak berbaju melayu bersama Alif yang ceria di Hari Graduasi

Oleh: Hamiza Binti Albahrin

Nilai, 8 Ogos 2019 – Kehidupan dalam keadaan yang tidak berkemampuan seperti rakan-rakan yang lain tidak menjadi penghalang kepada pelajar ini untuk mencapai kejayaan. Mohamed Aidiel Haikal bin Mat Ziat, 19, telah kehilangan bapanya pada usia 7 tahun manakala ibunya tidak bekerja bukanlah menjadi penghalang kepada Aidiel untuk mencapai kejayaan yang diimpikan, sehinggalah Aidiel diangkat salah seorang penerima anugerah cemerlang dalam program International Baccalaureate (IB) pada Majlis Graduasi 2019 Kolej MARA Banting baru-baru ini

“Saya amat berterima kasih kepada MARA kerana memberi peluang kepada saya dan rakan-rakan untuk mengambil kursus IB di Kolej Mara Banting kerana program ini sangat bagus untuk pelajar-pelajar seperti kami yang ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara”

“Sebagai seorang yang berasal daripada kampung peluang ini merupakan peluang keemasan yang sangat bernilai untuk saya”- kata anak kelahiran Kodiang, Kedah ini.

“Saya tidak perlu membuat kerja sambilan kerana elaun yang diberikan oleh Majlis Amanah Rakyat kepada saya pada setiap bulan sudahpun mencukupi dan saya tidak perlu lagi untuk meminta wang daripada keluarga” katanya.

Menurut Aidiel, bagi mencapai sesuatu kejayaan bukan sahaja usaha yang diperlukan namun setiap manusia perlu menjaga hubungan dengan Allah. Doa ibu bapa juga merupakan senjata untuk seseorang pelajar mencapai kejayaan.

Seorang lagi pelajar yang datang daripada keluarga yang tidak berkemampuan Muhammad Alif bin Othman, 19, telah menerima anugerah cemerlang Sijil Asasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Ayahnya yang bekerja sendiri dan ibu tidak bekerja menjadi pembakar semangat untuk beliau terus berusaha bagi mengubah nasib mereka sekeluarga.

“Saya rasa amat berbangga dan bersyukur kerana telah menerima anugerah pada hari ini atas bantuan keluarga, guru-guru dan rakan yang baik sepanjang saya belajar Peringkat Asasi di Kolej Mara Banting”

“Saya berterima kasih kepada Majlis Amanah Rakyat kerana membiayai pembelajaran saya sehingga saya menyambung Ijazah di UTM kelak” kata anak kelahiran Felda Segamat ini.

“Cabaran yang saya hadapi sepanjang saya belajar ialah kekurangan wang untuk membeli buku, tetapi saya mampu menyelesaikan masalah tersebut dengan meminjam buku daripada rakan-rakan”

“Antara tips untuk berjaya ialah sentiasa menjaga solat dan berdoa kepada Allah, pemilihan rakan yang baik juga penting kerana rakan yang baik dapat membantu membimbing kita” katanya.

Alif menyatakan bahawa ayahnya merupakan pembakar semangat kepadanya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Beliau akan berusaha sedia upaya untuk mengubah kekurangan keluarganya pada masa akan datang.

Majlis Graduasi Kolej MARA Banting ini telah berlangsung di Dewan Tuanku Cancelor, Universiti Sains Islam Malaysia dan telah dirasmikan oleh Yang Berbahgia Dato’ Mohamed Roseli bin Dol yang merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA.

 

 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.