Aqib, Ikon TVET Malaysia Kongsi Rahsia Kejayaan

Aqib sedang menyampaikan ceramah kepada pelajar sekolah

Oleh: Ziela Amin

Sabak Bernam, 8 ogos 2019 – “Ini lah masanya saya kongsi rahsia kejayaan  dan suntik semangat pelajar menceburi bidang Technical Vocational Education and Training (TVET) untuk memastikan aliran TVET terus relevan dan berkembang ke arah mewujudkan Malaysia di antara 20 negara maju,”  kata Ahmad Nur Al Aqib Ahmad Zamanhuri,27, Ikon TVET Malaysia 2017.

Anak sulung lima beradik ini merupakan Pengarah Urusan AQB Resources yang dibina beliau sejak tahun 2012. AQB Resources berkembang maju menjadi pusat pembekal mesin dan peralatan percetakan. Dengan pendapatan mencecah ratusan ribu setahun, Aqib merasakan bahawa ilmu yang ada perlu dikongsi dan ini adalah platform terbaik untuk beliau membantu melahirkan usahawan TVET yang berpotensi.

“Pelajar kita perlu didedahkan dengan jurusan dan latihan TVET yang ditawarkan oleh Institusi Pendidikan MARA (IPMA) memudahkan mereka memilih kerjaya yang mempunyai kebolehpasaran tinggi,”kata Aqib yang ditemui ketika memberi ceramah kerjaya kepada calon SPM 2019 dalam program Selangkah Ke Universti anjuran Yayasan Pelajaran MARA (YPM) di Sabak Bernam.

Beliau berkata, penglibatannya dalam ceramah kerjaya ini memberi ruang kepada beliau untuk memperkenalkan dan mengetengahkan inovasi serta teknologi percetakan. Aqib turut berkongsi rahsia  dan formula terbaik untuk meningkatkan jaringan perniagaan bahkan beliau berazam membuka peluang kepada usahawan-usahawan yang mula menceburkan diri dalam bidang percetakan.

“Saya amalkan tiga formula mujarab, iaitu setiap perkara yang kita lakukan mesti mendapat restu daripada ibu bapa, tidak salah kita bertanya pendapat mereka, selalu panjatkan doa dan patuh suruhan Pencipta. Keberkatan itu akan terarah kepada kita ”

‘’Rahsia saja, untuk menjadi usahawan berjaya kita mesti tampil unik dan luar biasa, kenal pasti konsep serta kehendak pelanggan dan kaji trend terkini yang disukai netizen, selesaikan masalah pelanggan sebab kadang-kadang mereka ingin membuat tempahan dalam kuantiti yang sedikit. Tidak semua syarikat percetakan sanggup menerima tempahan dalam kuantiti yang minima tetapi AQB Resources sudi bantu,” jelas alumni KKTM Rembau ini.

Sifat Aqib yang suka berkongsi ilmu dan mempunyai matlamat yang jelas ini telah mendapat perhatian media tempatan. Beliau sering diburu oleh pihak media untuk menceritakan kisah dan pengalaman kerjaya beliau yang berbeza. Aqib pernah muncul di kaca televisyen RTM dalam laporan khas berbentuk teaser yang mempromosi kejayaan usahawan TVET MARA. Cerita kejayaan beliau juga turut dipapar di akhbar Berita Harian dan Sinar Harian.

Beliau mengakhiri sesi temubual dengan tips yang sangat bermakna, setiap perkara yang dilakukan memerlukan kesungguhan.

“Kesungguhan itu menjamin kejayaan, perlu bersunguh-sungguh mencari ilmu dan pengalaman. Jangan takut untuk meneroka sesuatu yang baru. Apa yang orang tidak buat , saya akan buat,” tegas usahawan TVET ini yang turut berterima kasih atas bantuan pihak MARA membangunkan perniagaannya.

 

 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.