Oleh: Nurul Syamimie Binti Hussin
Nilai, 7 Ogos 2019 – Nur Iffah Binti Abdul Halim, 20 telah berjaya menerima dua anugerah iaitu Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Anugerah Akademik Tertinggi keseluruhan terbaik Diploma International Baccalaureate (IB) dalam jurusan Economics dan Accountant di Majlis Graduasi Kolej MARA Banting 2019 baru-baru ini.

Nur Iffah Abdul Halim menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik yang disampaikan sendiri ibunya juga disaksikan oleh YBhg. Dato’ Roseli Dol, TKP (Pendidikan) MARA
Beliau yang berasal daripada Selangor dan merupakan anak ketiga daripada empat adik beradik telah menjadi anak (MARA) sejak di bangku sekolah lagi. Pada zaman persekolahannya, beliau telah menuntut di MRSM Tun Ghafar Baba di Jasin, Melaka. Kini, beliau bakal melanjutkan Sarjana Muda di University Edinburgd, Scotland. Di samping itu, anak didik MARA ini juga bergiat aktif dalam sukan Ultimate Frisbee dan telah memenangi pingat gangsa dalam pertandingan tersebut.
“Pada mulanya, saya tidak sangka dengan pencapaian yang saya perolehi namun saya amat berterima kasih kepada guru-guru dan rakan-rakan yang banyak membantu saya sepanjang saya menuntut ilmu di Kolej Mara Banting.”
Tambahannya lagi, “Tanpa sokongan daripada keluarga saya, saya tidak akan berjaya hingga ke tahap ini. Keluarga saya banyak memberi kata-kata semangat untuk terus berjaya.”
Menurutnya, rahsia kejayaannya untuk menjadi pelajar IB yang cemerlang adalah ketabahan kerana program IB merupakan salah satu program yang mencabar kerana teknik pembelajaran dan pengajaran IB memberi fokus kepada perspektif antarabangsa yang memberi peluang kepada pelajar meneroka pembelajaran mereka sendiri.
Di samping itu, pengurusan masa yang berkesan amat dititikberatkan. Hal ini demikian kerana, pelajar IB perlu menstabilkan diri dari semua aspek seperti sukan, pelajaran, aktiviti kolej dan sebagainya.
“Saya berharap generasi akan datang akan terus berusaha dalam mengejar cita-cita dan jangan putus asa kerana disebalik kesusahan anda pasti terserlah cahaya kejayaan.”
Ujarnya lagi, “MARA adalah satu badan yang amat penting dalam masyarakat kita terutamanya kepada bumitera kerana MARA memberi peluang kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk membiayai pelajaran mereka sehingga ke luar negara.”
Majlis anugerah ini telah berlangsung dalam Masjlis Graduasi Kolej MARA Banting yang disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Mohamed Roseli Bin Dol, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA serta turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) MARA, Puan Hajjah Rohayah Binti Mohd Zin dan Pengetua Kolej MARA Banting serta barisan kakitangan MARA.