MRSM Bentong menang emas dan perak reka MPV

Dari kiri : Muhammad Azri Fahrul Razi, Muhammad Wabil Mubin Muhammad Nazrul, Nur Izzati Afiqah Mohd Shakri, Mohd Yazid Mohd Shariff (Guru Penasihat MRSM Bentong)

Oleh : mfadhly

Pekan, 28 Julai 2019 – Lakaran MPV yang direka oleh dua orang pelajar MRSM Bentong berjaya memenangi pingat emas dan perak pada pertandingan Auto Design Sketch sempena Karnival Stream Challenge 2019 di DRB-Hicom University of Automotive Malaysia.

Lakaran MPV yang direka oleh pelajar-pelajar tingkatan 4, Muhammad Wabil Mubin Muhammad Nazrul dan Muhammad Azri Fahrul Razi itu berjaya menarik hati juri berdasarkan idea dan konsep yang dihasilkan sekaligus melayakkan mereka meraih pingat emas dan perak.

Wabil berkata, mereka perlu menghasilkan rekabentuk kereta melalui tema yang diberikan oleh pihak penganjur iaitu “Kereta Keluarga Untuk Generasi Masa Hadapan”.

“Alhamdulillah, kami berjaya menghasilkan rekabentuk kereta dalam tempoh yang diberikan semasa pertandingan berlangsung.

“Kami sentiasa peka dengan elemen penting dalam rekaan dan lakaran iaitu pandangan sisi, pandangan hadapan dan pandangan isometrik,” katanya.

Tambahnya lagi, antara maklum balas yang diberikan juri adalah mpv dihasilkan sangat futuristik dan sesuai dengan keluarga selain kekemasan lakaran mpv berkenaan.

“Kami berjaya mengalahkan peserta yang disertai oleh wakil kelab dan sekolah-sekolah negeri pahang” katanya.

Selain itu, dalam pertandingan yang berlangsung pada 27 Julai itu, MRSM Bentong turut mendapat tempat keempat iaitu Nur Izzati Afiqah Mohd Shakri.

Dalam pada itu, Guru Penasihat MRSM Bentong Mohd Yazid Mohd Shariff berkata, pihaknya berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh semua peserta terutama atas kejayaan mereka menewaskan sekolah-sekolah lain.

Katanya, kejayaan itu diharap dapat dipertingkatkan pada masa akan datang terutama menerusi pertandingan yang lain.

“Pelajar-pelajar dikehendaki merekabentuk kereta yang terbaik bertemakan kereta untuk keluarga “Multipurpose Vehicle” (MPV) pada peringkat saringan MRSM Bentong sebelum mereka dipilih mewakili MRSM Bentong untuk menyertai pertandingan ini,” katanya.

This entry was posted in Berita Kejayaan, Pendidikan. Bookmark the permalink.