196 Pelajar Kolej MARA Banting Bergraduan

840A2547-M

YBhg. Dato’ Roseli Dol, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA menyampaikan Sijil Diploma kepada Graduan Kolej MARA Banting

Oleh: Mohd Taufek Mohd Noh

Nilai, 5 Ogos- Seramai 196 graduan Kolej MARA Banting (KMB), menerima diploma masing-masing pada Majlis Graduasi KMB di Dewan Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai baru-baru ini.

Majlis Konvokesyen yang disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, YBhg. Dato’ Roseli Dol telah menyampaikan kepada 146 graduan program International Baccalaureate (IB) manakala 50 lagi merupakan graduan Asasi Sains UTM batch pertama yang akan mengikuti Ijazah Pertama di UTM dalam tiga bidang iaitu kejuruteraan, sains komputer dan seni bina.

Menurut Roseli Dol dalam ucapannya, keputusan peperiksaan IB pada tahun ini menyaksikan 2 tahun berturut-turut graduan Kolej MARA Banting berjaya memperoleh 100% graduan layak dianugerahkan Diploma dan purata mata IB juga meningkat dari 37 mata pada 2018 kepada 38 mata pada 2019.

“saya berasa bangga dengan graduan KMB ini kerana mereka berjaya membuktikan dengan mendapat 35 mata ke atas mencatat 85.62%.”

Dalam pada majlis itu, seramai 8 graduan diangkat untuk menerima anugerah khas mengikut kategori IB yang mendapat 40 hingga 43 mata dalam peperiksaan IB dan Asasi Sains UTM yang mendapat purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.67 hingga 3.94.

Bagi anugerah akademik tertinggi IB, Nur Iffah Binti Abdul Halim, graduan IB dipilih kerana pencapaian keputusan akademik yang konsisten sepanjang 3 semester berturut-turut iaitu 39, 38, dan 40 mata. Kecemerlangan akademik ini terus dibuktikan apabila beliau Berjaya meraih 44 mata daripada mata penuh 45 bagi program IB.

Lukman Hakim Bin Mohd Radi, dipilih sebagai penerima anugerah kepimpinan IB, kerana kesibukkannya memimpin tidak pernah melalaikan akademik dengan memperoleh 35 mata dalam peperiksaan IB. Begitu juga Nur Ikhmal Danial Bin Zakaria yang memperoleh 36 mata dalam peperiksaan IB dipilih untuk menerima anugerah khidmat masyarakat IB.

Anugerah terbaik keseluruhan IB pula diberikan kepada Muhammad Ihsan Thaqif Bin Bahter Nasir yang memperoleh 41 mata.

Bagi kategori asasi sains pula, ini merupakan program yang pertama kalinya diperkenalkan di KMB dengan purata pelajar memperoleh PNGK lebih 3.50 seramai 66% iaitu 30 orang dari jumlah 50 orang. Manakala sebanyak 28% memperoleh PNGK antara 3.00 hingga 3.49.

Untuk anugerah akademik tertinggi diberikan kepada Wan Luqman Bin Wan Zulkifli dengan memperoleh PNGK 3.95. Manakala Saharulnizam Hakimy Bin Shobri dipilih untuk anugerah kepimpinan dengan memperoleh PNGK 3.35.

Anugerah khidmat masyarakat UTM, diberikan kepada Afif Zuhair Bin Mohammed Yusri atas sumbangan dan kecemerlangannya dalam aktiviti kemasyarakatan. Manakala anugerah terbaik keseluruhan UTM diberikan kepada Umar Zaki Bin Zailani dengan memperoleh PNGK 3.92.

Menurut Roseli Dol lagi, “pelajar di kolej ini bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malahan turut cemerlang dalam beberapa program di peringkat kolej, nasional dan antarabangsa.”

“MARA yang sentiasa memberi tumpuan dan penekanan dalam bidang pendidikan dan jelas bermatlamat bagi melahirkan modal insan bertaraf global.”

Turut hadir dalam majlis graduasi ini adalah Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan), YBhg. Pn. Hajjah Rohayah Mohd Zain.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.