USAHAWAN AUTOMOTIF BERJAYA

Oleh: Mohd Taufek Mohd Noh

Penerima Anugerah Usahawan Techno MARA 2014 dan Profil Usahawan Jutawan Kedah 2016, En. Muhamad Solahudin Mustafa, 32, pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutif Prowheels (M) Sdn. Bhd. (Prowheels), yang ditubuhkan sejak 2008, tidak menafikan penglibatannya dalam bidang automotif ini banyak dibantu oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Bagi memenuhi perancangan masa depan, beliau berhasrat mengembangkan perniagaannya untuk membuktikan bahawa usahawan bumiputera bukan sahaja boleh berjaya dalam bidang automotif, malah menjadi pelopor dalam industri tayar di Malaysia.

Dengan hanya berbekalkan modal sebanyak RM50,000 yang dibiayai MARA pada tahun 2008, kini Prowheels mampu membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat khususnya di luar bandar.

Premis pertama di Kampung Kuala Sungai, Mukim Kubang Rotan, Alor Setar mendapat reaksi positif daripada pelanggan memandangkan bidang tayar ini sangat jarang diceburi oleh orang melayu. Kini, beroperasi di empat cawangan, Prowheels mempunyai lebih 95 pekerja termasuk mekanik berpengalaman terdiri daripada anak tempatan yang secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada syarikat tersebut.

Prowheels.jpg

YB Dato’ Seri Rina Harun, Menteri KPLB meninjau Syarikat Prowheels. Bersamanya Ketua Pengarah MARA, YBhg. Dato’ Azhar Abdul Manaf dan Pengurus Syarikat Prowheels, Solahudin Mustafa

Dengan modal berjumlah RM1 Juta, Prowheels bercadang untuk membuka 6 lagi cawangan yang bertempat di GM16119 Lot 6292 Keriang Pulau Bandar Alor Setar, di GM1413 Lot 255 dan GM1260 Lot 3508 Mukim Pekula Daerah Kuala Muda, di GM3984 Lot 3873 Daerah Yan, di No.3095 Jalan Mahsuri 9/J Taman Mahsuri, Padang Serai Kulim, di Jalan Sultanah Sambungan Alor Setar dan Lot 3575-A KM5 Jalan Putra Mergong Alor Setar.

Berdasarkan keuntungan syarikat Prowheels (M) Sdn. Bhd. pada tahun 2017 iaitu sebanyak 23.86%, ianya menunjukkan peningkatan sebanyak 31.28% pada 2018. Ini membuktikan Prowheels mampu berdaya saing dengan syarikat tayar yang terkenal di Malaysia dan Prowheels juga diangkat sebagai pusat perkhidmatan tayar dan bengkel kenderaan dikembangkan lagi dengan menjadi pemborong dan pengedar alat ganti kenderaan.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.