Cikgu Super Matematik

Nurul Ilmi Mesekan 37, penerima Anugerah Pendidik MARA 2019.

Oleh: Ziela Amin

Sangat terinspirasi! “Zaman sekarang, siapa yang nekad dan rajin berusaha, maka rezeki akan datang padanya. Jika seorang pendidik menjalankan tanggungjawab sepenuh hati, sentiasa berfikir ke hadapan serta komited mencari ilmu dan pendekatan baru, barulah seorang pendidik itu tampak luar biasa dan layak untuk dinobat murabbi unggul,” kata Nurul Ilmi Mesekan 37, penerima Anugerah Pendidik MARA 2019.

Cikgu Nurul Ilmi berkongsi kisah kejayaannya yang mungkin boleh menjadi inspirasi buat guru-guru dan masyarakat di luar sana. Sesungguhnya kejayaan tidak akan datang bergolek. Paling penting, jadilah yang luar biasa, terampilkan kesungguhan dalam apa jua yang dilakukan.

Ilmi digelar Cikgu Super Matematik kerana berjaya memudah cara dan mencipta formula Matematik sehingga menarik minat pelajar untuk mendalami subjek tersebut. Beliau merupakan Pengasas Teknik Inovasi FastMaths, telah menulis serta menerbitkan beberapa buah buku inovasi Matematik yang telah berjaya mendidik lebih 2000 orang pelajar menggunakan teknik mudah, pantas dan efektif.

Formula beliau telah meraih pingat gangsa dalam Pertandingan Inovasi IKM/KKTM 2012 dan tersenarai sebagai finalis Anugerah Inovasi Sains Selangor (AINS) 2018. Antara anugerah lain yang diraih Cikgu Ilmi adalah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPLB 2018, Anugerah Inovasi Komersial MJII 2018, Anugerah Pendidik Gemilang MJII 2018 dan Anugerah Khas Pengarah MJII 2018.

Menurut Pensyarah Matematik  MARA Japan Industrial Institute (MJII) ini,  formula baru yang dicipta beliau tercetus setelah  mengenal pasti masalah dalam kalangan pelajarnya yang kurang berminat dalam subjek tersebut. Namun, Ilmi telah membuktikan yang Matematik bukanlah suatu subjek yang susah dan memeningkan seperti masalah  nombor dan algebra semata-mata tetapi beliau turut mengajar anak didiknya bahawa Matematik sebenarnya mata pelajaran yang amat menyeronokkan.
“Ramai pelajar di luar sana masih tidak meminati subjek Matematik dan sudah tiba masanya saya tampil dengan formula baru dan jalan kira yang mudah untuk menyenangkan pelajar memahami subjek ini, saya tidak ingin melihat mereka ketinggalan dan putus asa”

“Pelajar zaman sekarang mahukan sesuatu yang baru dan menyeronokkan, kita sebagai guru perlu kreatif dan tidak boleh biarkan mereka terus lemah,”kata Ilmi.

Tambah beliau, tidak mudah untuk berada di tahap ini, pelbagai cabaran yang dihadapi untuk bergelar Super Matematik. Ilmi sangat sukakan komen pelajar yang mengatakan mereka membenci Matematik.

“Itulah cabaran peribadi saya sekiranya menerima keluhan dan komen daripada pelajar yang bencikan subjek ini, namun saya percaya sekiranya ada panduan dan teknik yang betul, saya mampu mengubah tanggapan mereka. Pelajar kurang berminat sebab tidak tahu teknik yang betul dan kurang latihan, bukan sebab mereka tidak pandai,”jelas Ilmi.

Bekas guru MRSM Tun Ghazalie Shafie ini teruja menceritakan keputusan dan hasil yang dicapai. Ianya cukup memberangsangkan dan memberi semangat buat Ilmi untuk terus membantu anak didiknya. Ramai anak didiknya yang berjaya skor A serta mempunyai peningkatan dalam subjek ini.

Sebelum dikenali ramai, Ilmi hanyalah guru Matematik biasa yang amat disayangi pelajarnya di sekolah. Sehinggalah suatu ketika beliau didatangi pelajarnya yang mengadu tidak meminati subjek ini.

Bekas pelajarnya Mohamad Faizal Mohd Zin Eksekutif Pentadbiran Perbadanan  Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkata, Cikgu Ilmi berkebolehan mengolah dan menerangkan isu Matematik yang kompleks kepada bahasa mudah untuk difahami. Beliau seorang yang senang didampingi kerana memiliki sifat ramah dan penyayang.

“Cikgu Ilmi bijak menangani pelajar yang lemah Matematik dan tidak memandang rendah kekurangan yang ada pada pelajarnya, bahkan disayangi sebab beliau prihatin dan tidak pilih kasih.  Pelajar yang tidak mahir akan diajar dalam kelas tambahan khas sehingga pandai menguasai sesuatu tajuk”

“Boleh dikatakan saya merupakan pelajar yang kurang mahir dalam ilmu kira-kira bahkan tidak pernah lulus subjek Matematik Tambahan, hampir putus asa dengan markah yang rendah, namun dengan bantuan Super Matematik saya yang tidak jemu-jemu mengajar selama tiga bulan, saya bangkit dan capai keputusan yang membanggakan, terima kasih sifu,”kata Faizal seakan berseloroh.

Selain itu, menjadi tanggungjawabnya untuk berkhidmat kepada komuniti setempat, maka beliau turut menganjurkan program atas talian bagi membolehkan lebih ramai pelajar mendapat manfaatnya. Beliau memuat naik beberapa formula Matematik dan menyediakan latihan sewajarnya demi kemudahan umum dan mencipta aplikasi baru seperti Digital Ink Pembelajaran Matematik dan Mobile Apps Matematik FastMaths dan FastAddMaths.

Kini, beliau turut aktif menjalankan seminar Pembelajaran Inovasi Matematik di sekolah-sekolah seluruh Malaysia dan sentiasa menerima jemputan sebagai penceramah.

“ Saya nekad untuk menjadi agen perubahan (agent of change) yang bukan sahaja bertugas mendidik pelajar di sekolah bahkan bertanggungjawab untuk menyebarkan ilmu kepada masyarakat,” ujar beliau.

Kejayaan Cikgu Ilmi turut mendapat liputan media tempatan dan sering muncul di kaca televisyen untuk program komersial seperti Astro Tutor TV UPSR dan Program Do It TV1. Namanya juga terpapar hebat dalam akhbar  Utusan Malaysia menceritakan kehebatan beliau mencipta formula berkesan. Netizen mula mengenali  Nurul Ilmi kerana beberapa buah buku terbitannya seperti Kuasai Sifir Tanpa Hafal dan Genius Asas Matematik Teknik Fastmaths diguna pakai sebagai latihan dan rujukan oleh guru dan ibu bapa seluruh Malaysia.

Cukup terharu  mendapat tahu atau mendengar kisah pengalaman guru-guru yang berjiwa besar untuk mendidik anak-anak muridnya. Bukan mudah, namun tidak juga sukar untuk menemui guru-guru sebegini. Guru dan sahabat-sahabatnya ini antara ribuan lilin yang sanggup membakar diri demi menerangi orang lain. Umpama, tidak kira hujan panas, ribut petir, sanggup diredah demi memajukan anak bangsa. Tidak pernah berkira soal wang ringgit apatah lagi tenaga demi memajukan modal insan hebat. Paling mengujakan, kenyataan cikgu ini yang membuatkan penulis tersentuh dan terharu.

“Yang penting, saya cuba buat sebaik yang mungkin. Beri apa yang ada penuh ikhlas, kerana bidang ini bukan setakat kerjaya bagi saya bahkan ini adalah kecintaan sepanjang waktu,” kata Super Matematik ini mengakhiri sesi temubual kami.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.