MARA Tambah Baik Laluan Kerjaya Warga Kerja Gred B, S Dan C

Para peserta bengkel yang terdiri daripada gred B, S dan C.

Oleh : mfadhly

Jawi, 26 Julai 2019 – MARA menambah baik laluan kerjaya warga kerja dengan penganjuran Bengkel Penambahbaikan Laluan Kerjaya Dan Pemerkasaan Gred B, S Dan C pada 23 hingga 25 Julai 2019 di Institut Latihan Kecemerlangan MARA (ILKM).

Menurut Presiden Kesatuan Kebangsaan Kakitangan MARA (KEKAM), Md Hisham Othman, objektif utama bengkel ini adalah untuk memperkasakan ilmu berkaitan laluan kerjaya baharu, mengemaskini cadangan elaun-elaun baharu, skim gaji, persaraan dan kompetensi serta latihan kepada gred B, S dan C MARA.

“Peserta bengkel terdiri daripada warga kerja MARA gred B, S dan C akan diperkasakan dengan ilmu laluan kerjaya baharu, cadangan elaun-elaun baharu, skim gaji, persaraan dan kompetensi serta latihan yang sesuai,” katanya.

“Setiap peserta bengkel akan dibahagikan kumpulan mengikut gred dan diberi tugasan menyiapkan kertas kerja permohonan perjawatan, elaun dan sebagainya,” tambahnya lagi.

Di akhir bengkel, setiap kertas kerja yang telah dikemaskini akan dibentang oleh KEKAM di Mesyuarat Bersama Jabatan (MBJ) dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Majlis Bersama Kebangsaan (MBK).

“KEKAM akan membentang kertas kerja daripada bengkel ini di MBJ dan seterusnya MBK berdasarkan maklumat yang dikongsikan bersama peserta bengkel,” katanya lagi.

Seramai 29 orang kakitangan MARA yang terdiri daripada gred B, S dan C terlibat dalam bengkel ini.

Hadir sama berkongsi ilmu perjawatan di bengkel ini Setiausaha Majlis Bersama Kebangsaan(MBK) Dalam Kumpulan Am/ Pelaksana, Mohd Fadli Mohd Noor.

This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.