Dr Norazylin Realisasi Buka Klinik Mesra Pesakit

Dr Norazylin antara usahawan profesional perubatan sebagai seorang doktor yang telah berjaya membuka klinik sendiri

Oleh: Waheeda MN

Mata Ayer Perlis, 24 Julai 2019 – Tidak ramai golongan Bumiputera yang berjaya membolosi peluang perniagaan dalam industri perkhidmatan kesihatan sebaliknya ia dilihat sebagai industri yang sukar untuk diceburi.

Namun pencapaian Dr Norazylin binti Roszaini,33, yang juga merupakan alumni MRSM Kuantan 2003, kini mampu membuka sebuah klinik di Mata Ayer, Perlis melalui Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) dalam bidang perubatan di bawah sektor Keusahawanan, Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Bermula dari ajakan kawan yang berminat untuk menyertai seminar ProSPEC yang telah diadakan di Hotel Premiera, Kuala Lumpur pada Julai 2018 telah membuka minat beliau untuk menceburi bidang perkhidmatan kesihatan ini. Norazylin berkata, Gerak hati yang secara kebetulan ini, membuatkan beliau teruja untuk mengetahui dengan lebih mendalam. Keesokannya beliau telah menghadiri sesi temuduga yang diadakan di Ibu Pejabat MARA, Kuala Lumpur.

Menurut beliau, untuk menceburi bidang perniagaan ini, bukan lah sesuatu yang mudah. Pelbagai cabaran yang perlu dilalui dari permulaan proses antaranya beliau perlu menunggu lama untuk proses kelulusan dari Kementerian Kesihatan selain proses pengubahsuaian klinik. Namun itu bukanlah alasan untuk beliau berputus asa.

Akhirnya, berkat kesabaran, pada 2 Mei 2019, U.n.i KLINIK Mata Ayer ini mula dibuka. Antara perkhidmatan yang disediakan seperti pemeriksaan kesihatan wanita, ibu hamil, perancang keluarga, imbasan ultrasound, kesihatan bayi dan kanak-kanak selain vaksinasi serta konsultasi perkembangan kanak-kanak.

Menurut Nor hamimi binti Nordin, 41, yang bekerja di sebuah kafe di Jejawi, merupakan pelanggan U.n.i KLINIK ditemui ketika beliau mendapatkan suntikan pengendali makanan (Typhoid). Beliau menyuarakan rasa puas hati dengan perkhidmatan yang disediakan cepat dan bukan sahaja memuaskan tapi cas perkhidmatan yang murah berbanding klinik swasta disekitarnya. Ini merupakan kali ke 2 beliau mendapatkan perkhidmatan beliau di U.n.i KLINIK ini.

Dr Norazylin bersama kakitangan U.n.i Klinik

Dr Norazylin turut menawarkan perkhidmatan istimewa dengan mengadakan lawatan rumah ke rumah. “Saya akan ke rumah pesakit berdasarkan makluman dari saudara mara yang mendapatkan rawatan di U.n.i KLINIK, ada antara pesakit yang dah tua dan terlantar sakit, yang mana mereka tidak mampu untuk bergerak mendapatkan rawatan” katanya.

Tambah beliau juga ini adalah inisiatif beliau sendiri dalam membantu masyarakat setempat selain menjalankan tanggungjawab sosial pada masyarakat.

“Saya berharap U.n.i KLINIK Mata Ayer terus menjadi pilihan pelanggan dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang disediakan disini” katanya ketika ditemui semasa majlis Perasmian U.n.i KLINIK Mata Ayer oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Datuk Seri Rina Mohd Harun.

 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.