Prowheels buka peluang pekerjaan masyarakat luar bandar

YB Rina memeriksa kereta bersama pemilik Prowheels

Oleh: Mohd Taufek Mohd Noh

Alor Setar, 21 Julai- Den Utara Enterprise yang mulanya menjalankan perniagaan perkhidmatan cuci kereta, seterusnya meneroka bidang jualan tayar terpakai dan membaiki kenderaan atas faktor peluang dan keperluan masyarakat setempat.

Bagi mengembangkan perniagaannya tayar terpakai kepada tayar baru yang bermula pada tahun 2010 itu, MARA telah menyalurkan bantuan pembiayaan kepada Prowheels (M) Sdn. Bhd. melalui Skim Program Usahawan Teknologi (PUTEK) berjumlah RM313 Ribu pada tahun 2014.

Seterusnya untuk menjayakan hasrat syarikat untuk mendapatkan hak eksklusif pengedaran tayar berjenama Zeta dari Thailand untuk pasaran Malaysia dan Singapura, MARA sekali lagi menyalurkan pinjaman perniagaan melalui Program MARA Integrated Smart Auto (MiSA) berjumlah RM 5 Juta pada tahun 2016.

Antara syarikat automotif yang berjaya dibangunkan oleh MARA melalui Skim MiSA ialah Prowheels (M) Sdn. Bhd. (Alor Setar, Kedah) Aerolines Autotech (M) Sdn. Bhd. (Bangi, Selangor) dan Jengka Motor Sdn. Bhd. (Bandar Jengka, Pahang).

Dalam usaha syarikat Prowheels (M) Sdn. Bhd. membina jaringan pengedaran tayar di seluruh Malaysia, MARA telah menawarkan pembiayaan melalui Skim Pembiayaan Mudah Jaya pada 2018 berjumlah RM 500 Ribu.

Syarikat Prowheels (M) Sdn. Bhd. juga merupakan usahawan Bumiputera yang berjaya sebagai pengedar tunggal minyak enjin jenama LUBREX dari UAE.

Berdasarkan perkembangan yang baik ketika ini, Prowheels (M) Sdn. Bhd. telah maju kehadapan lagi dari sebuah pusat perkhidmatan tayar dan bengkel kenderaan kepada pemborong dan pengedar alat ganti kenderaan. Kejayaan ini dapat dibuktikan dengan memiliki 4 cawangan di sekitar Alor Setar dan mempunyai 115 syarikat pengedar tayar dan minyak enjin telah dilantik menghasilkan 1500 peluang pekerjaan. Limpahan juga telah menjana kepada pembangunan ekonomi negara apabila sebanyak RM24 Juta jualan dicatatkan daripada semua pengedar dibawah Prowheels pada tahun 2018.

Hala tuju Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) ke arah menuju negara maju dan berpendapatan tinggi berteraskan prinsip Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB), memberi ruang kepada para usahawan untuk menjana pertumbuhan ekonomi demi kelangsungan kesejahteraan hidup, keseimbangan dalam pelbagai dimensi khususnya masyarakat di Luar Bandar.

Beberapa program ke arah mencapai visi Luar Bandar Sejahtera telah dimulakan antaranya Program Desa Harapan, iaitu kerjasama dengan pihak swasta dalam membangunkan sesebuah kampung dari aspek ekonomi, keusahawanan, modal insan dan alam sekitar.

Demi merealisasikan seruan kerajaan melalui teras 2 DPLB iaitu Keusahawanan Pemacu Pembangunan Ekonomi, khususnya strategi 2 iaitu Memperkasakan Sistem Pembiayaan Kewangan, Kemudahan Fizikal dan Sistem Sokongan di Luar Bandar, MARA terus proaktif dalam memberikan perkhidmatan bimbingan melalui latihan keusahawanan, pembangunan infrastruktur perniagaan dan pembiayaan perniagaan kepada para usahawan dengan peruntukkan bernilai RM412.5 Juta untuk usahawan sediada dan bakal usahawan bagi tahun 2019.

Menerusi kemudahan yang disediakan MARA, para usahawan dapat meningkatkan keupayaan dalam aktiviti perniagaan demi

kelangsungan menghadapi cabaran Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dan persekitaran global yang semakin mencabar. Antara Skim pembiayaan perniagaan MARA yang ditawarkan untuk bidang automotif secara keseluruhannya bagi tahun 2019 adalah sebanyak RM10.1 Juta dan RM5 Juta telah diagihkan di bawah Skim MARA Integrated Smart Auto (MiSA), dengan pembiyaan maksimum sehingga RM1 Juta bagi membantu usahawan Bumiputera dalam meningkatkan perniagaan berkonsepkan 3S, iaitu merangkumi sales, services, dan spare part.

Selain itu, Skim Pembiayaan Teknikal (PUTEK) dan Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) dengan pembiayaan maksimum berjumlah RM500 Ribu bertujuan meningkatkan perniagaan serta mewujudkan usahawan baru dalam bidang teknikal berasaskan kepada kemahiran yang dimiliki seterusnya dibantu sehinggalah mereka mampu untuk berdikari dan mengurusakannya sendiri.

Sejak 2011 sehingga 2019, MARA telah membantu lebih 8,000 usahawan dalam bidang automotif dari sudut pembiayaan dan 778 usahawan automotif yang menerima kemudahan premis. Secara keseluruhan bagi Tahun 2019 pula, permintaan pembiayaan dalam sektor automotif adalah meningkat sebanyak 126% telahpun melebihi sasaran bagi program usahawan teknikal.

Dengan kelangsungan perkembangan IR 4.0, Kementerian terus mengorak langkah memandang ke hadapan demi membangunkan usahawan serta merapatkan jurang ketidak seimbangan pembangunan penduduk bandar, luar bandar dan wilayah terhadap landskap pembangunan negara dan ekonomi.

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.