Amalan Membaca 1 Juz Al-Quran Sehari Rahsia Di Sebalik Kejayaan 10A+ SPM

Nurul Iman menerima anugerah kecemerlangan yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Azhar Bin Abdul Manaf

Oleh: Akmal Azlan

Kuala Lumpur, 5 Julai 2019 – Amalan membaca 1 Juz Al-Quran sehari merupakan rahsia kejayaan Nurul Iman Binti Ahmad Yusof. Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas ini telah menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik MRSM 2018 dengan pencapaian cemerlang semua A dengan 10A+ dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dalam satu majlis yang dianjurkan MARA semalam.

Nurul Iman, 19, turut berkongsi sedikit rahsia kejayaan 10A+ selepas menerima anugerah tersebut di Hotel The Pearl, Kuala Lumpur.

Katanya, “Pertama sekali saya bersyukur kepada Allah kerana telah memberi saya rezeki di luar jangkaan ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa saya serta guru-guru MRSM yang sentiasa memberi sokongan penuh ketika membuat persiapan untuk menghadapi SPM”

Beliau turut menyatakan bahawa amalan membaca 1 juz Al-Quran sehari adalah salah satu elemen penting dalam persediaannya sebelum peperiksaan SPM.

Ujarnya, “Apa yang boleh saya kongsikan disebalik kejayaan saya ini ialah amalan membaca 1 juz Al-Quran sehari ketika bulan peperiksaan SPM yang semakin hampir. Menjaga solat lima waktu dengan mengejarkan solat di awal waktu adalah perkara harus kita jaga untuk mendapat kekuatan.”

“Surah kegemaran saya ialah Surah Al-Waqiah dan Surah Al-Mulk. Saya akan membaca surah al-Waqiah setiap pagi selepas waktu subuh dan surah al-Mulk sebelum tidur,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa dirinya sendiri rajin bertanya kepada guru-guru di dalam kelas apablia tidak memahami sesuatu perkara yang diajarkan.

Tambahnya lagi, “kita juga perlu rajin mengajar dan berkongsi ilmu kepada rakan-rakan kerana ianya merupakan satu proses untuk mengukuhkan lagi tahap pemahaman ilmu”

Kini, Nurul Iman telah melanjutkan pengajian di Kolej MARA Banting dalam bidang International Bacalaueratel selama 2 tahun. Beliau berharap agar dapat pergi ke tahap yang lebih jauh dan berjaya di masa yang akan datang.

Beliau telah menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Azhar Bin Abdul Manaf, Ketua Pengarah MARA.

This entry was posted in Berita Kejayaan, Pendidikan. Bookmark the permalink.