
YBhg. Dato’ Roseli Dol, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA menyampaikan hadiah kepada Johan Peserta kategori Liga Huffaz dari MRSM Kota Putra
Oleh: Mohd Taufek Mohd Noh
TERENGGANU, 1 Julai 2019 – Program Ihtifal Ulul Albab MRSM Se-Malaysia yang dianjurkan khusus untuk mencungkil dan membina kecerdasan pelajar selari dengan hasrat MARA dalam melahirkan modal insan yang berkualiti, bersahsiah tinggi, seimbang dan harmonis sekaligus berjaya mendepani cabaran dan arus globalisasi. Melalui ihtifal ini juga, ia dapat mengembangkan potensi keseluruhan pelajar MRSM khususnya pelajar Ulul Albab dalam mencapai kecemerlangan yang berkualiti berteraskan tiga ciri utama iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.
Menurut Roseli Dol, “Kita perlu konsisten dalam membudayakan aspek quranik, ensiklopedik dan ijtihadik dalam segala tindakan bagi memacu kejayaan dan kegemilangan umat Islam khususnya dalam kalangan pelajar”.
Bagi mencapai matlamat MARA, iaitu melahirkan modal insan yang global, cemerlang dan kompetitif (GEC), pelbagai aktiviti dan program telah dirancang dan dilaksanakan di peringkat MRSM berasaskan Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik termasuk penganjuran Ihtifal Ulul Albab MRSM Se-Malaysia yang telah diadakan saban tahun bermula tahun 2014.
Penganjuran Ihtifal Ulul Albab MRSM Se-Malaysia yang berlangsung pada 29 Jun baru-baru ini di MRSM Kota Putra menekankan sembilan nilai teras yang perlu ada dalam diri seorang pelajar Ulul Albab dan setiap pengisian program juga dirangka sebaiknya bagi memenuhi kesemua nilai teras yang digariskan anataranya Uswatun Hasanah, Lillah, Ukhwah, Lubbul Khuluk, Amal Soleh, Lil Qiadah, Bil Hikmah, Amar Makruf Nahi Mungkar dan Burhan. Dengan adanya program ihtifal ini akan dapat mencungkil bakat pelajar sekaligus dapat merealisasikan hasrat institusi Pendidikan khususnya MARA.
Penganjuran buat kali ke 6 ini telah menghimpunkan seramai 577 wakil-wakil pelajar MRSM seluruh Malaysia yang mengambil bahagian, ini menunjukkan para pelajar sangat komited dan bersungguh dalam membentuk sahsiah dan jati diri yang cemerlang. Rata-rata peserta juga menunjukkan bakat masing-masing yang luar biasa dalam merebut gelaran juara pada setiap kategori.
Menurut Roseli lagi, “saya mengharapkan agar kesungguhan dan komitmen ini dapat diteruskan bagi menjamin kejayaan yang lebih cemerlang pada masa-masa mendatang kerana anda semua bakal peneraju pelapis generasi yang akan datang”.
“Saya berpendapat program ini dapat dijadikan salah satu wadah untuk melahirkan insan ummatan wasathan yang berjaya dalam semua aspek kehidupan”.
Antara MRSM yang mendapat perhatian dalam ihtifal kali ini adalah MRSM Gemenceh yang telah berjaya merangkul 6 johan dalam acara-acara yang dipertandingkan, diikuti MRSM Kota Putra yang membawa pulang 5 johan.